Jumaat, 22 Februari 2019 | 5:52pm

Fitch kekalkan penarafan A- Malaysia

KUALA LUMPUR: Fitch Ratings mengesahkan penarafan kemungkiran penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia pada A- dengan tinjauan stabil.

Ia berkata, penarafan A- mencerminkan kadar pertumbuhan tinggi berbanding rakan median lain.

Penarafan A- itu juga, jelasnya, mencerminkan kedudukan kreditor luaran bersih yang disokong oleh lebihan akaun semasa yang kukuh dan aset luaran yang besar.

Namun begitu, Fitch Ratings berkata, penarafan itu dikekang oleh hutang kerajaan yang tinggi, tahap pendapatan per kapita yang rendah dan standard tadbir urus yang lemah berbanding rakan penarafan lain.

“Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) bertindak pantas untuk melaksanakan banyak janji pilihan raya utamanya sebaik mengambil alih pemerintahan pada Mei 2018, terutamanya pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan semakan semula projek infrastruktur.

“Ia menyediakan maklumat terperinci mengenai dasar ekonomi makronya dalam Belanjawan 2019 yang diumumkan pada awal November (tahun lalu),” katanya.

Fitch Ratings berkata, sasaran fiskal jangka sederhana belanjawan kurang bercita-cita berbanding kerajaan sebelumnya, berikutan sebahagian besarnya menjangkakan kerugian pendapatan bersih kira-kira satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susulan pemansuhan GST dan menggantikannya dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Firma penarafan itu berkata, defisit yang lebih meluas dan paras hutang adalah negatif untuk profil kredit, tetapi diimbangi sedikit oleh langkah yang diumumkan dalam belanjawan untuk meningkatkan ketelusan fiskal dan pengurusan hutang awam.

Berita Harian X