Rabu, 20 Februari 2019 | 2:08pm
Kilang Ford di Sao Bernardo do Campo, Brazil. Foto Reuters.
Kilang Ford di Sao Bernardo do Campo, Brazil. Foto Reuters.

Ford tutup kilang tertua di Brazil

SAO PAOLO/DETROIT: Ford Motor Co akan menutup kilangnya yang tertua di Brazil dan keluar daripada perniagaan trak komersial berat di Amerika Selatan.

Langkah berkenaan memberi kesan kepada lebih 2,700 pekerja susulan sebahagian penstrukturan semula bagi menghentikan kerugiannya di seluruh dunia.

Ford sebelum ini berkata, penstrukturan semula organisasi global akan memberi kesan terhadap beribu-ribu pekerjaan dan kemungkinan penutupan kilang di Eropah, akan menyebabkan caj AS$11 bilion.

Berikutan pengumuman itu, penganalisis dan pelabur menjangkakan penstrukturan semula yang sama di Amerika Selatan.

Ketua Eksekutif Ford, Jim Hackett pada bulan lalu berkata pelabur tidak perlu menunggu lama untuk pelan penstrukturan semula Amerika Selatan.

Kilang yang dijadualkan ditutup adalah di Sao Bernardo do Campo, pinggir bandar perindustrian Sao Paulo yang telah beroperasi sejak 1967.

Pada mulanya ia mengeluarkan beberapa model kenderaan sebelum beralih kepada pengeluaran trak secara tetap pada 2001.

Ia mengeluarkan trak F-4000 dan F-350 serta kereta bersaiz kecil Fiesta.

Penutupan kilang itu bermakna Ford memfokuskan semula teras perniagaan keretanya dalam ekonomi terbesar Amerika Latin, yang berpangkalan di kilang yang lebih baharu di Bahia.

Bagaimanapun, pemberhentian pekerja di kawasan perindustrian Brazil memberi tamparan psikologi untuk pentadbiran baharu Presiden, Jair Bolsonaro, yang berdepan tekanan kadar pengangguran lebih 11 peratus.

Langkah pengurangan terkini Ford itu timbul berikutan pelabur menunggu petunjuk kemajuan usaha sama syarikat itu dengan Volkswagen AG, yang sudah merangkumi van komersial dan trak pikap tetapi mungkin dalam tempoh terdekat berkembang ke dalam kereta elektrik dan pandu sendiri.

Kedua-dua pengeluar kereta itu berjanji untuk bekerjasama dalam projek lain, yang mungkin termasuk menggabungkan kapasiti di rantau seperti Amerika Selatan.

Saham Ford ditutup naik 3.4 peratus kepada AS$8.83 di New York.

“Anda tidak boleh mengurangkan kos dalam perjalanan menuju kemakmuran dalam jangka panjang,” kata David Kudla, yang menerajui Mainstay Capital Management, berpangkalan di Michigan, firma yang sebelum ini memiliki saham Ford.

“Kami ingin mendengar mengenai masa depan, apa yang anda lakukan untuk perkhidmatan mobiliti dan kenderaan autonomi,” katanya.

Penutupan kilang itu juga adalah tamparan kepada industri perindustrian Sao Paulo, yang mana industri automotif Brazil dilahirkan dan sudah lama memacu pertumbuhan perindustriannya.

Ia juga adalah tempat yang mana bekas Presiden, Luiz Inacio Lula da Silva menjadi terkenal sebagai pemimpin kesatuan yang menganjurkan serangan besar-besaran yang membantu mengakhiri kediktatoran tentera.

-Reuters

Berita Harian X