Isnin, 18 Februari 2019 | 3:50pm
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Datuk Shahril Ridza Ridzuan. Foto NSTP/Hafiz Sohaimi.

Dana tambahan Malaysia Airlines bergantung pelan strategi

KUALA LUMPUR: Peruntukan dana tambahan untuk Malaysia Airlines adalah bergantung kepada kertas cadangan syarikat penerbangan itu, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Beliau berkata, buat masa ini Khazanah masih lagi menunggu pelan strategi daripada Malaysia Airlines, yang sedang menyemak semula strategi sedia ada syarikat itu.

“Sebarang tambahan dana baharu kepada mereka akan bergantung kepada pelan strategi ini,” katanya kepada pemberita di luar Forum Pelaburan Pengurusan Aset Islamik Nomura sempena ulang tahun ke-10 di sini, hari ini.

Khazanah yang mengambil alih Malaysia Airlines pada Ogos 2014 telah menyuntik dana sebanyak RM6 bilion sebagai pelan pemulihan syarikat penerbangan itu.

Ahad lalu, Shahril Ridza dipetik sebagai berkata bahawa Malaysia Airlines perlu mengeluarkan pelan strategiknya sendiri bagi membolehkannya untuk bersaing dalam industri penerbangan dan seterusnya menjana keuntungan yang lebih baik.

Dalam pada itu, katanya Khazanah komited untuk membayar RM1 bilion dividen kepada kerajaan pada tahun ini disebalik persekitaran ekonomi yang mencabar.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai rancangan syarikat pelaburan strategik negara itu yang mahu meningkatkan jumlah dananya dengan cara mengurangkan kepentingan dalam aset bukan strategik serta kehadirannya di peringkat global.

Sebelum ini, menurut sumber yang dipetik oleh Reuters, di bawah strategi baharu Khazanah, ia merancang untuk mengurangkan pegangan di dalam beberapa syarikat yag dikenal pasti sebagai bukan strategik kepada antara 15 hingga 25 peratus.

Khazanah dijangka akan mengumumkan strategi baharunya itu pada taklimat tahunan pada 28 Februari ini.

Berita Harian X