Jumaat, 15 Februari 2019 | 4:10pm

Pelaburan tambahan RM1 bilion sokong strategi pengembangan Maxis

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) memperuntukkan perbelanjaan modal tambahan sebanyak RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menyokong strateginya sebagai peneraju dalam penyediaan perkhidmatan telekomunikasi menyeluruh.

Selain itu, ia juga bagi menyokong sasaran syarikat iaitu mencapai pendapatan perkhidmatan dalaman melebihi RM10 bilion dalam tempoh lima tahun menjelang 2023.

Dalam kenyataan laporan kewangannya, Maxis berkata, ia sudah mula memperluaskan perniagaannya untuk memperoleh peluang penyelesaian perusahaan dan perkhidmatan menyeluruh di semua segmen, dalam usaha menetapkan hala tuju syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Maxis membuat perubahan signifikan kepada strateginya, dengan membina asas untuk menjadi peserta menyeluruh yang kukuh di Malaysia,” katanya.

Maxis mencatatkan prestasi kukuh bagi tahun kewangan 2018 dengan pendapatannya meningkat sebanyak 5.1 peratus kepada RM4.072 bilion berbanding RM3.873 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Ia dipacu oleh pertumbuhan pelanggan baharu seramai 282,000 tahun ini, menjadikan jumlah pelanggan melebihi 3.1 juta.

Selain itu, permintaan yang kukuh terhadap peranti menarik dan inovatif, serta bahagian perkongsian talian dengan nilai tambahan tinggi, turut menyumbang kepada hasil syarikat.

“Hotlink Postpaid Flex menunjukkan pertumbuhan yang mantap dan dengan MaxisONE Share kami, berjaya menarik ramai pelanggan pasca bayar dan menggalakkan pemindahan pelanggan prabayar ke sektor pasca bayar,” katanya.

Bagaimanapun, pendapatan perkhidmatan turun sebanyak 2.5 peratus kepada RM8.068 bilion daripada RM8.271 bilion.

Ia berikutan pendapatan prabayar yang menurun sebanyak 11.4 peratus kepada RM3.399 bilion daripada RM3.838 bilion, berikutan konsolidasi SIM dan pemindahan ke pasca bayar.

“Berikutan pelaksanaan strategi yang baik serta penawaran peribadi, pendapatan prabayar kekal stabil,” katanya.

Dengan pelan yang menarik dan harga berpatutan, pendapatan fiber meningkat sebanyak 17 peratus kepada RM359 juta daripada RM306 juta tahun sebelumnya dan asas meningkat sebanyak 33 peratus membabitkan seramai 249,000 pelanggan kediaman dan perusahaan.

Sementara itu, bagi tahun tempoh dikaji, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang dinormalkan pada pendapatan perkhidmatan kekal stabil pada 47.6 peratus, didorong oleh fokus kepada segmen yang menguntungkan dan inisiatif pengoptimuman kos.

Susulan prestasi ini, Maxis mengisytiharkan dividen interim keempat lima sen bersih sesaham dengan dividen penuh untuk tahun ini kepada 20 sen sesaham.

Mengulas mengenai prestasi ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Robert Nason, berkata Maxis berjaya mengakhiri tahun 2018 dengan mengekalkan prestasi operasi teras yang kukuh.

“Kami mengukuhkan kedudukan kompetitif kami di pasaran dengan beberapa langkah signifikan, menerajui pasaran dengan pelan fiber kediaman dan perniagaan yang baharu dan harga berpatutan dan meraih tempat sebagai peneraju pertama melalui kempen Fibrenation.

“Kini, kami adalah satu-satunya pengendali di Malaysia yang mampu menawarkan gabungan sepenuhnya untuk teknologi tetap dan mudah alih bagi pengguna dan perusahaan,” katanya.

Berita Harian X