Khamis, 14 Februari 2019 | 10:29am

Mantra baharu Khazanah: Lebih banyak tunai, kurangkan kawalan

KUALA LUMPUR/SINGAPURA: Dana kekayaan kedaulatan Malaysia, Khazanah Nasional Bhd, akan melancarkan satu rancangan bulan ini untuk memberikan lebih banyak tunai kepada kerajaan dengan mengurangkan kepentingannya dalam aset bukan strategik dan menarik balik kehadirannya di lokasi seperti London, kata sumber kepada Reuters.

Ini menggariskan keperluan mendesak bagi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjana wang bagi tabungan kerajaan, yang berkurangan disebabkan defisit fiskal dan hutang besar daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Di bawah strategi baharu itu, yang akan diumumkan pada kajian tahunan Khazanah 28 Februari ini, Khazanah dengan dana AS$39 bilion itu meninjau untuk mengurangkan kepentingannya kepada sehingga 15-25 peratus dalam beberapa syarikat yang dikenal pasti sebagai tidak strategik, paras pegangan hampir sama oleh dana-dana pencen, demikian menurut dua sumber kepada Reuters.

Khazanah juga meninjau untuk mengurangkan kehadiran fizikalnya di lokasi luar negara seperti London, Mumbai dan Lembah Silicon, kata dua sumber lain.

Ia sedang mempertimbangkan untuk melupuskan sebahagian daripada hartanah dan pelaburan teknologi di luar negara, kata sumber.

"Mereka tidak terdesak untuk menjana wang, bukan dengan cara yang menghakis nilai. Ia akan lebih berstruktur dan beransur-ansur tetapi ia akan dilakukan, kerana matlamat semerta adalah untuk menjana wang," kata seorang daripada sumber itu.

Khazanah yang secara tradisinya lebih daripada pelabur strategik, enggan mengulas.

Bagaimanapun, sumber rapat dengan perbincangan itu berkata, Khazanah "membawa tahap tumpuan kepada aset komersial lebih tinggi daripada sebelumnya. Aset strategik adalah sama penting dan dana itu perlu menjadikannya lebih cekap dan menguntungkan".

Sumber-sumber, yang enggan dikenali kerana sensitiviti perkara itu, menambah sasaran Khazanah ialah menguruskan pegangannya sebagai pelabur portfolio dan bukan sebagai pelabur langsung yang aktif.

Berikutan semakan semula dalaman sejak pengurusan baharu tahun lalu, Khazanah memperuntukkan pelaburannya di lebih 100 firma yang merangkumi lebih 20 negara di bawah dua kategori, strategik dan komersil, kata sumber.

Syarikat Tenaga Nasional Bhd, Malaysia Airlines yang bermasalah, Malaysia Airports Holdings Bhd dan Telekom Malaysia Bhd dikenal pasti sebagai pegangan strategik dan pemilikan mereka tidak mungkin berubah, kata sumber itu.

Baki portfolio Khazanah dapat melihat pengurangan, seperti dalam CIMB Group Holdings yang 27 peratus kepentingan dikuasainya, Axiata Group (36 peratus) dan syarikat milik penuh UEM Group, kata mereka.

November lalu, Khazanah mengumumkan janji niaga untuk menjual 16 peratus kepentingan dalam IHH Healthcare (IHH), mengurangkan kepentingannya dalam kumpulan hospital Asia itu kepada kira-kira 26 peratus. - Reuters

Berita Harian X