Khamis, 31 Januari 2019 | 11:21am
- Foto AFP/Hiasan
- Foto AFP/Hiasan

Samsung Electronics ramal raih pendapatan lemah 2019

SEOUL: Samsung Electronics Co Ltd hari ini memberi amaran bahawa ia dijangka meraih pendapatan lemah pada 2019 ketika mana syarikat itu mencatat penyusutan 29 peratus dalam keuntungan operasi suku keempatnya.

Peneraju pasaran global dalam cip komputer dan telefon pintar dalam satu kenyataan berkata, ia menjangkakan "pendapatan tahunan keseluruhan turun" tahun ini, walaupun jualan produk cip memori dan panel OLED akan mula pulih semula pada separuh kedua.

Keuntungan operasi adalah 10.8 trilion won (AS$9.7 bilion) pada suku keempat, sejajar anggaran awalnya bulan ini.

Pendapatan susut 10 peratus kepada 59.3 trilion won.

Cip keluaran syarikat Korea Selatan itu digunakan dalam kebanyakan telefon pintar utama, termasuk Apple dan Huawei Technologies Co Ltd.

Cip memori dan cip pemproses menguasai kira-kira 72 peratus keuntungan keseluruhan syarikat itu.

Bagaimanapun, dengan ekonomi China berkembang pada kadar paling perlahan dalam hampir tiga dekad, tiada penyelesaian dalam perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, jualan telefon pintar yang lemah dan lebihan cip di pusat data AS, pengeluar cip memori global itu berhadapan kesukaran.

Samsung berkata, permintaan cip memori dijangka kekal lemah pada suku pertama tahun ini disebabkan oleh "ketidaktentuan makroekonomi" serta penyelarasan inventori oleh pelanggan utama.

Keuntungan operasi suku keempat bagi bahagian cipnya jatuh kepada 7.8 trilion won daripada 10.9 trilion won tahun sebelumnya.

Bahagian mudah alih mencatatkan keuntungan operasi sukuan 1.5 trilion won, turun daripada 2.4 trilion won setahun lalu.

Tahun lepas, saham Samsung susut 24 peratus di tengah-tengah penjualan saham teknologi global susulan kebimbangan pelabur berhubung kesan konflik perdagangan AS-China kepada rantaian bekalan.

"Perbelanjaan IT di China jatuh mendadak dan kita tidak tahu bila perang perdagangan AS-China akan berakhir. Semua ini menjejaskan Samsung," kata Eo Kyu-jin, penganalisis di eBest Investment and Securities. - Reuters

Berita Harian X