Rabu, 30 Januari 2019 | 2:54pm

Harga iPhone akan turun?

NEW YORK: Apple Inc bercadang menurunkan harga beberapa model iPhone utama untuk kali kedua dalam sejarah 12 tahun peranti itu.

Ia sebaliknya akan menyandarkan nilai runcitnya kepada harga sebelumnya dalam mata wang tempatan bagi jualan di luar Amerika Syarikat (AS) dan bukannya bersandarkan dolar AS yang semakin kukuh nilainya.

Langkah itu adalah percubaan untuk merancakkan jualan iPhone yang lemah, terutamanya di pasaran luar negara seperti China, yang mana peningkatan 10 peratus dalam dolar AS sejak setahun lalu menjadikan produk Apple, yang bersaing bagi pasaran telefon pintar segmen teratas, lebih mahal daripada pesaing.

Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook, mendedahkan rancangan itu Selasa selepas syarikat itu melaporkan penurunan jualan pertama iPhone semasa tempoh musim membeli-belah utama.

Syarikat itu hanya sekali sebelum ini mengurangkan harga iPhone, tidak lama selepas ia membuat kemunculan pertama pada 2007.

Apple tidak mengatakan di negara mana ia akan melaksanakan penyesuaian harga iPhone itu. Penjual di China sudah mula mengurangkan harga iPhone awal bulan ini selepas Apple menurunkan ramalan jualannya bagi suku berakhir Disember.

Syarikat itu menawarkan XS iPhone baharu, yang dikeluarkan September, pada harga AS$999, harga yang sama dalam dolar AS sebagaimana model sebelumnya, iPhone X yang diperkenalkan pada 2017.

Harga itu bersesuaian bagi pengguna AS, tetapi di negara seperti China dan Turki yang mata wang tempatan jatuh ketara berbanding dolar AS, menjadikan telefon itu jauh lebih mahal daripada model sebelumnya.

Apple pada asasnya meminta pengguna menanggung kos pengukuhan dolar. - Reuters

Berita Harian X