Rabu, 23 Januari 2019 | 9:14pm

Sunway, Hoi Hup bangunkan projek kondominium RM1.32 bilion di Singapura

KUALA LUMPUR: Sunway Bhd dan Hoi Hup Realty Pte Ltd memperoleh tender bagi cadangan pembangunan perumahan kondominium eksekutif berkeluasan 2.5 hektar di Tampines, Singapura bernilai S$434.45 juta (RM1.32 bilion).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunway berkata cadangan syarikat usaha sama (JV) untuk diperbadankan akan meraih sebidang tanah, dengan anak syarikat milik penuhnya Sunway Developments Pte Ltd (SDPL) mempunyai 35 peratus kepentingan ekuiti dan Hoi Hup atau syarikat penamanya memegang baki pegangan.

Pelaburan SDPL dalam JV itu sebanyak S$65 juta (RM197.75 juta).

Kumpulan pembinaan dan pembangunan hartanah itu berkata ia menerima surat lantikan bagi tanah itu daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan Singapura hari ini.

Syarikat JV itu akan menyiapkan projek kondominium yang dicadangkan di Tampines Avenue 10 dalam tempoh 60 bulan, katanya, sambil menambah pembangunan jangka pajakan selama 99 tahun itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan Sunway bagi tahun kewangan 2023.

SDPL merupakan anak syarikat milik penuh Sunway Holdings Sdn Bhd yang juga 100 peratus milik Sunway Bhd. Ia terlibat terutamanya dalam pegangan pelaburan, diperbadankan di Singapura dengan modal berbayar sebanyak S$6.69 juta.

Hoi Hup pula adalah syarikat yang diperbadankan di Singapura dengan modal berbayar sebanyak S$3 juta dan aktiviti utamanya dalam pembangunan hartanah. - BERNAMA

Berita Harian X