Selasa, 22 Januari 2019 | 9:59pm

Sapura Energy raih RM4 bilion daripada terbitan hak

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd memperoleh kira-kira RM4 bilion daripada terbitan hak yang menyaksikan Permodalan Nasional Bhd menjadi pemegang saham terbesarnya.

Kumpulan itu menerima 8.14 bilion permohonan untuk saham haknya dengan waran yang tawarannya ditutup pada 16 Januari lalu. Itu mewakili kadar langganan 81.5 peratus.

Bagi saham keutamaan boleh tukar boleh tebus Islam (RCPS-i), kumpulan itu menyaksikan hanya sedikit melebihi 100 peratus permohanan.

Baki saham hak sebanyak 1.85 bilion unit akan diambil sepenuhnya oleh penaja jamin bersama yang terdiri daripada Maybank Investment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd.

Berikutan dengan terbitan hak itu, Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan dana berkaitannya muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar dengan pegangan saham 40 peratus dalam Sapura Energy.

Sapura Technology Sdn Bhd akan terus menjadi pemegang saham penting, yang kedua terbesar selepas PNB, dengan kepentingan langsung dan tidak langsung sebanyak 16.3 peratus. Pemegang saham minoriti merangkumi penyertaan tempatan dan asing akan memegang keseluruhan 42.2 peratus.

Sapura Energy berkata, penyertaan dari PNB dan pemegang saham lain menyediakan asas ekuiti yang kukuh untuknya melaksanakan strategi pertumbuhan bagi mencapai prospek jangka panjang.

Sapura Energy melaksanakan dua amalan korporat untuk memastikannya mempunyai modal yang cukup untuk berkembang dan beroperasi dengan penyata kewangan yang kukuh.

Berita Harian X