Isnin, 14 Januari 2019 | 5:18pm

Sime Darby sukar jual minyak sawit lestari harga tinggi

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd, pengeluar sawit terbesar dunia sedang meningkatkan usaha untuk menghasilkan komoditi yang lebih lestari, namun pengguna tidak mahu membayar lebih untuk bekalan sawit mesra alam sekitar.

Pengeluaran minyak sawit lestari melonjak kepada 13.6 juta tan setahun, kira-kira 20 peratus daripada output global, menurut badan industri yang memperakui komoditi berkenaan.

Bagaimanapun, hanya separuh daripadanya dijual sebagai minyak lestari. Ini kerana, ia lebih mahal untuk dihasilkan dan majoriti tidak mampu membayar premium berkenaan, kata Sime Darby.

“Pembeli tidak mahu membayarnya,” kata Ketua Pegawai Kelestarian Sime Darby, Simon Lord.

Minyak sawit semakin dihimpit kontroversi, terutama di negara Barat berikutan imej kemusnahan hutan dan kematian orang utan menjadi popular.

Bagaimanapun, pengeluar membidas semula dengan mengatakan pengguna tidak bersedia untuk berbelanja lebih walaupun itu adalah keperluan.

Minyak yang diperakui biasanya dijual pada harga premium kira-kira AS$30 satu tan berbanding jenis yang tidak diperakui, walaupun ia boleh berbeza-beza bergantung kepada jumlah yang dibeli serta rundingan antara pembeli dan penjual.

Bagi mendapatkan persijilan, ia memerlukan kos pengeluar sekurang-kurangnya AS$8 hingga AS$12 satu tan dan terdapat tambahan perbelanjaan seperti yuran audit, logistik dan penilaian alam sekitar, kata Sime Darby, pengeluar terbesar minyak kelapa sawit lestari (CSPO).

Niaga hadapan penanda aras komoditi itu didagangkan pada RM2,175 (AS$531) satu tan hari ini.

Sime Darby berkata, ia hanya boleh menjual kira-kira 50 peratus minyak diperakui pada harga premium, dengan bakinya dijual ke dalam pasaran minyak bukan diperakui tanpa mencapai sebarang nilai tambah.

Beberapa syarikat terpaksa menjual CSPO, dan rela berbuat demikian daripada terus menyimpannya, kata Penganalisis Kanan Rabobank International, Oscar Tjakra.

-Bloomberg

Berita Harian X