Khamis, 3 Januari 2019 | 6:59pm

Malaysia catat rekod pendapatan tertinggi bagi Apple

CALIFORNIA: Malaysia adalah antara beberapa pasaran pesat membangun yang mencatatkan rekod pendapatan tertinggi bagi syarikat gergasi teknologi, Apple Inc.

Dalam satu surat kepada pelabur, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Cook berkata syarikat itu menjangka untuk mencipta rekod pendapatan tertinggi dalam sejarah di beberapa pasaran negara maju termasuk Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jerman, Itali, Sepanyol, Belanda dan Korea Selatan.

"Walaupun kita melihat terdapat cabaran di beberapa pasaran pesat membangun, akan ada yang mencipta rekod termasuk Mexico, Poland, Malaysia dan Vietnam," katanya.

Cook berkata walaupun Apple menjangkakan beberapa cabaran dalam pasaran pesat membangun pada suku pertama yang berakhir pada 29 Disember 2018, ia tidak menjangkakan kemerosotan ekonomi, terutama di China.

"Sebenarnya, sebahagian besar kejatuhan pendapatan kami, dan lebih dari 100 peratus penurunan pendapatan seluruh dunia tahun ini, berlaku di China merentasi produk iPhone, Mac dan iPad," katanya.

Namun di sebalik semua cabaran ini, Cook berkata Apple percaya perniagaannya di China mempunyai masa depan yang cerah.

"Komuniti pembangun iOS di China adalah antara yang paling inovatif, kreatif dan bertenaga di dunia. Produk kami diikuti ramai pelanggan dengan tahap pembabitan dan kepuasan yang sangat tinggi," katanya.

Dalam surat yang dikeluarkan semalam, Cook berkata Apple telah menurunkan unjuran pendapatan suku tahun pertama kepada AS$84 bilion, turun dari AS$89 hingga AS$93 bilion yang sebelum ini diunjurkan.

Margin kasar diturunkan kepada kira-kira 38 peratus daripada 38 hingga 38.5 peratus.

Pendapatan yang lebih rendah daripada iPhone, khususnya di China, mewakili keseluruhan penurunan pendapatanya.

Manakala, kategori selain iPhone termasuk Perkhidmatan, Mac, iPad dan Aksesori secara terkumpul meningkat hampir 19 peratus berbanding setahun lalu.

Berita Harian X