Jumaat, 28 Disember 2018 | 4:45pm
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Beli-Belah dan Taman Tema Sunway, Chan Hoi Choy.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Beli-Belah dan Taman Tema Sunway, Chan Hoi Choy.

Pusat beli belah Sunway catat pertumbuhan meyakinkan

PETALING JAYA: Sunway Malls, unit peruncitan Sunway Bhd mencatatkan pertumbuhan 10 hingga 15 peratus tahun ini meskipun berdepan dengan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Beli-Belah dan Taman Tema Sunway, Chan Hoi Choy, berkata prestasi itu turut disokong oleh perkembangan dalam perkhidmatan e-panggilan ke pusat beli-belah sebanyak lima hingga tujuh peratus.

Beliau berkata, sebagai pengendali pusat beli-belah, pihaknya turut menghadapi cabaran dari segi ruang runcit yang berlebihan dan peningkatan dari sektor e-dagang.

“Kami yakin untuk mengatasi perkara ini memandangkan Sunway Malls mempunyai rekod panjang dalam industri di negara ini dan menjadi peneraju dalam pasaran.

“Tahun 2018 adalah mencabar bagi kami, namun kami berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan dan terus optimis bagi operasi dan prestasi pusat beli-belah pada tahun depan. Apa yang penting adalah usaha berterusan syarikat untuk mendekati dan menarik lebih banyak pelanggan,” katanya selepas majlis pelancaran ‘The Amazing Sunway City Challenge’ yang disertai oleh 10 individu berpengaruh Asia di sini, hari ini.

Hoi Choy berkata, bagi mengukuhkan pusat beli-belah di bawah kendalian Sunway Malls, pihaknya merancang untuk memperkenalkan beberapa perkhidmatan berasaskan teknologi pada 2019.

Bulan lalu, Sunway Pyramid, pusat beli-belah di bawah Sunway Malls memperkenalkan sistem pengenalan nombor pendaftaran kereta bertujuan mengurangkan kesesakan di tempat meletak kereta.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada musim perayaan pada Disember ini, dua pusat beli-belahnya, Sunway Pyramid dan Sunway Velocity merekodkan trafik pengunjung tertinggi.

“Ini memberikan gambaran yang baik kepada syarikat untuk mencapai pertumbuhan yang lebih baik pada tahun depan, sekali gus dapat meningkatkan penguasaan pasaran bagi segmen pusat beli-belah,” katanya.

Sunway Malls ketika ini menguruskan enam pusat beli-belah dan ia termasuklah Sunway Pyramid, Sunway Velocity, Sunway Putra, Sunway Giza dan Sunway Carnival.

Berita Harian X