Isnin, 24 Disember 2018 | 8:04pm

AACL jual Merah Aviation

SEPANG: AirAsia Group Bhd (AirAsia), menerusi anak syarikat milik penuhnya, Asia Aviation Capital Ltd (AACL), memeterai perjanjian untuk menjual Merah Aviation Asset Holding Ltd (Merah Aviation) kepada AS Air Lease Holdings 5T DAC, entiti yang dikawal Castlelake LP berjumlah AS$786 juta (RM3.20 bilion)

Castlelake adalah firma pelaburan swasta global berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) serta mempunyai kepakaran dalam pemilikan dan penyelenggaraan pesawat.

Selain jualan saham Merah Aviation, Castlelake juga akan membeli empat pesawat baharu dari AACL yang mana penghantaran dijangka dilakukan pada 2019.

Semua 25 pesawat (A320-200ceo dan A320neo) sedia ada di bawah Merah Aviation, serta empat pesawat baharu (A320-200ceon) berkenaan akan disewakan kepada AirAsia Bhd dan/atau syarikat sekutunya.

Urus niaga itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham AAGB serta syarat lain yang ditetapkan, dan dijangka selesai pada suku kedua 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata urus niaga itu adalah sebahagian daripada transformasi syarikat berkenaan menjadi lebih daripada sekadar syarikat penerbangan.

“Melangkah ke hadapan, pelupusan semua pesawat ini bukan sahaja memberi nilai yang signifikan, malah juga mendekatkan matlamat kami menjadi sebuah syarikat digital.

“Sebelum ini, ramai penganalisis mengkritik syarikat ini kerana memiliki pelbagai aset dan gearan tinggi. Kini ramai memahami keputusan berkenaan. Dalam tempoh beberapa tahun, pasti ramai juga akan memahami strategi digital kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Rakan Pengurusan Castlelake, Evan Carruthers, berkata syarikat itu berbesar hati menyokong AirAsia untuk mencapai matlamat strategiknya dengan menawarkan perkhidmatan penyewaan penuh dan penyelesaian permodalan.

Castelake mempunyai kepakaran menawarkan kreativiti, penyelesaian permodalan fleksibel untuk rakan niaga syarikat penerbangan.

Sejak penubuhannya pada 2005, Castlelake sudah melakukan pelaburan dan menguruskan lebih 500 pesawat. Menerusi perjanjian itu, Castlelake akan mempunyai lebih 250 pesawat.

Berita Harian X