Isnin, 17 Disember 2018 | 9:00am
NAZLEE Khalifah - Foto NURUL SHAFINA JEMENON

Affin Islamic tumpu pasaran pembiayaan baharu

KUALA LUMPUR: Affin Islamic Bank Bhd (Affin Islamic) optimis prestasi kewangannya dapat dipertingkatkan tahun depan dengan menumpukan kepada pasaran pembiayaan baharu, khususnya produk pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazlee Khalifah, berkata ketika ini 90 peratus pembiayaan cabang perniagaan Affin Bank Bhd itu

adalah bagi segmen pembiayaan perumahan atau gadai janji.

“Jika dilihat kepada risiko, segmen gadai janji mempunyai risiko yang rendah berbanding pembiayaan PKS, namun segmen gadai janji mempunyai margin yang kecil selain terlalu banyak persaingan daripada institusi perbankan yang lain.

“Walaupun segmen ini agak perlahan tetapi ia menunjukkan peningkatan berbanding 2017 kepada Affin Islamic. Faktor ekosistem hartanah semasa juga memainkan peranan dalam pembiayaan ini.

“Lantaran itu, Affin Islamic beralih fokus kepada pembiayaan PKS dengan tiga produk pembiayaan baharu akan diperkenalkan tahun hadapan,” katanya kepada NSTP baru-baru ini.

Nazlee berkata, Affin Islamic juga mempunyai hubungan kerjasama dengan Credit Guarantee Corp Bhd (CGC) bagi Skim Jaminan Portfolio CGC untuk memudahkan PKS dalam mendapatkan pembiayaan daripada bank.

Beliau berkata, kerjasama dengan CGC itu memberi jaminan risiko kepada bank dan sehingga kini sebanyak RM26 juta pembiayaan diberikan membabitkan 40 syarikat di bawah skim itu.

Skim itu memperuntukkan RM100 juta pembiayaan yang merangkumi RM40 juta bagi pembiayaan konvensional dan RM60 juta di bawah pembiayaan islamik.

“Saya yakin lebih banyak pembiayaan akan diberikan tahun hadapan. Malah Affin Islamic juga bakal melancarkan pembiayaan khusus kepada industri halal di Malaysia.

“Industri halal mempunyai potensi besar bukan saja di pasaran tempatan malah dunia tetapi tidak ramai usahawan PKS mendapat pembiayaan khusus bagi industri itu. Ia tidak menumpukan kepada pengeluar tetapi turut mengambil kira pembiayaan kepada rantaian bekalan produk halal, bukan saja pengeluar tetapi rantaian sokongan produk halal itu.

“Proses dari awal hingga ke pengguna pasti akan membabitkan banyak pihak, lantaran itu Affin Islamic ingin meneroka pembiayaan kepada syarikat terbabit,” katanya.

Nazlee berkata, ketika ini Affin Islamic menyumbang 39 peratus kepada portfolio keseluruhan kumpulan dan disasarkan meningkat kepada 43 peratus tahun hadapan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan terus memperhebatkan lagi pembiayaan pendidikannya, Affin Education Financing-i yang diperkenalkan suku pertama tahun ini.

Katanya, pembiayaan khas itu membantu pelajar institusi pendidikan tinggi swasta membiayai yuran pengajian mereka menerusi Affin Islamic.

Sehingga kini, Affin Islamic meluluskan sebanyak 176 akaun dengan jumlah pembiayaan lebih daripada RM10 juta.

Bagi memberikan tambah nilai kepada pelanggan Affin Islamic, Nazlee berkata pihaknya juga akan melancarkan aplikasi Affin Islamic.

“Kami akan melancarkan aplikasi dan produk digital kumpulan sebelum Affin Islamic pula melancarkan produk digital. Kami akui Affin Islamic dan kumpulan agak terlewat dalam memperkenalkan aplikasi dan perbankan internet namun akan ada beberapa kelebihan kepada kami.

“Kami sudah dapat mengetahui kemahuan pengguna dan apa yang perlu ada dalam aplikasi perbankan kelak,” katanya.

Berita Harian X