Ahad, 16 Disember 2018 | 3:15pm
SME Bank mengumumkan pelantikan Aria Putera Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank baharu berkuat kuasa 3 September 2018.

Dorong PKS ke tahap lebih tinggi jadi fokus SME Bank

KUALA LUMPUR: Mendorong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pergi lebih jauh dan meningkatkan peranan bank diterajuinya dalam menyediakan bantuan kewangan kepada PKS adalah matlamat utama Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank yang baharu dilantik, Aria Putera Ismail.

Menurut Aria, tiga tonggak utama dalam menguruskan bank berkenaan adalah sumber insan, produk dan program selain portfolio dan dasar.

“Kami memandang kepada memperbaiki kualiti aset selain bakat yang ada. Bank ini berpijak pada asas pentingnya mendorong PKS di negara ini yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” katanya dalam temubual dengan Bernama.

Aria menekankan bahawa, walaupun SME Bank tidak memberikan sebarang geran kepada usahawan PKS, ia menyediakan pembiayaan untuk PKS dan sokongan bukan dalam bentuk kewangan seperti program pembangunan usahawan dan Kompleks Premis Usahawan.

SME Bank sudah meluluskan lebih RM29 bilion bagi memupuk dan membiayai lebih daripada 16,000 PKS sejak 2005.

Untuk masa depan, Aria berkata, SME Bank akan melaksanakan inisiatif berimpak tinggi bagi menyediakan penyelesaian yang disediakan khas untuk PKS melalui pembangunan porgram pembiayaan komprehensif seperti Program Pembiayaan Ekosistem dan Program Pembiayaan Payung.

“Program Pembiayaan Ekosistem adalah pembangunan PKS yang mana ia penting bagi memastikan pertumbuhan seimbang dan berkongsi kekayaan, dalam negara ini berubah menjadi ekonomi bernilai tambah tinggi serta berpendapatan tinggi,” katanya.

Aria menambah bahawa, SME Bank juga bersemangat untuk berkembang kepada sektor berimpak tinggi seperti bidang hijau dan teknologi digital selain bekerjasama dengan bank komersial lain melalui perjanjian bersindiket dan pengenalan e-dagang serta marketplace PKS

Sehingga kini, Bank berkenaan sudah menyenaraikan 21 inisiatif, termasuk langkah utamanya dalam transformasi teknologi digital, strategi pembangunan PKS berdasarkan persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah dan mencabar, dicirikan oleh globalisasi, liberalisasi serta kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi, selaras keinginan kerajaan untuk Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Ini termasuk membentuk ekosistem yang akan menyediakan bukan hanya manfaat kepada SME Bank untuk akses kepada kualiti kredit tetapi juga memantau prestasi dan membolehkan pemain PKS melihat peluang baharu dalam lingkungan ekosistem yang ingin diceburi,” katanya.

Hari ini, SME Bank adalah satu-satunya institusi pembiayaan pembangunan Malaysia yang mewujudkan Pusat untuk Pembangunan Usahawan dan Penyelidikan (CEDAR), sebuah anak syarikat yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pengantaraan termasuk latihan berasaskan penyelidikan, bimbingan perniagaan, pemudah cara berasaskan fungsi dan bimbingan usahawan

“Perkhidmatan pengantaraan yang dibuat khas ini adalah penting memandangkan sejak beberapa tahun lalu kami mendapati, walaupun PKS sangat bermotivasi, mereka kekurangan pengetahuan asas dan kemahiran mengurus serta mengekalkan perniagaan mereka seperti pengurusan kewangan dan aspek pemasaran serta penjenamaan,” kata Aria.

Selain itu, SME Bank juga melancarkan beberapa program pembiayaan seperti MySMExport, program pembiayaan untuk pengeksport dan pengeksport berpotensi bagi membeli aset tetap baharu dan untuk modal kerja, juga MySMELady.

MySMELady dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, pada 8 Oktober untuk menggalakkan pembabitan usahawan wanita yang memberi tumpuan kepada berubah untuk peningkatan serta pengembangan dan pertumbuhan perniagaan.

Ia juga mempunyai satu porgram pembiayaan subordinat dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi menyediakan pembiayaan untuk syarikat Bumiputera yang menghadapi kekurangan kos untuk projek, kilang juga mesin.

“Melalui inisiatif ini, PKS akan dianggap lebih berdaya saing di pasaran global dalam masa terdekat. Ini juga akan menjadi pendorong kepada peserta e-dagang," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X