Isnin, 10 Disember 2018 | 7:34pm
MAZLAN (kiri) bersama Tengku Zafrul pada majlis pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Siber di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
MAZLAN (kiri) bersama Tengku Zafrul pada majlis pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Siber di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

CIMB laksana pelbagai inisiatif banteras penipuan perbankan

KUALA LUMPUR: Kumpulan CIMB komited untuk membanteras aktiviti penipuan membabitkan sektor perbankan yang mampu menyebabkan kerugian sehingga jutaan ringgit kepada orang ramai khususnya pelanggan bank itu.

Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan CIMB, Kwan Keen Yew, berkata bank berkenaan melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha bersepadu bagi menangani kegiatan itu daripada terus menular.

Beliau berkata, antara inisiatif itu termasuklah kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur dalam Kempen Pencegahan Jenayah Siber dalam mempertingkatkan kesedaran orang awam mengenai kegiatan penipuan yang berleluasa ketika ini.

"Orang ramai yang menjadi mangsa perlu mengambil tindakan dengan cepat dan terus melaporkan kepada pihak bank dan pihak berkuasa supaya apa sahaja transaksi yang mencurigakan dapat dihentikan dengan segera.

"Malah, mereka juga dinasihatkan untuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran ataupun panggilan yang menyatakannya dari pihak bank atau sebaliknya.

"Sekiranya sangsi, lapor atau hubungi bank atau institusi sebenar supaya dapat mengelakkan dari tertipu dan akhirnya mengalami kerugian kepada diri sendiri," katanya pada majlis pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Siber di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Kempen itu adalah anjuran bersama Polis Kuala Lumpur dan Kumpulan CIMB bagi memerangi dan memberi pendidikan serta kesedaran kepada masyarakat supaya tidak menjadi mangsa kepada jenayah siber.

Antara jenayah siber itu termasuklah Macau Scam, African Scam, Love Scam dan Parcel Scam dengan anggaran kerugian sehingga RM72.5 juta setakat November tahun ini berbanding RM35.1 juta tahun lalu.

Malah, mengikut Jabatan Jenayah Komersial PDRM, statistik jenayah siber terus meningkat dari 2014 hingga 2017 yang merekodkan jumlah kerugian sebanyak RM2.14 bilion dan 30,586 kes di seluruh negara.

Sementara itu, Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata, usaha itu adalah antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh institusi perbankan itu kerana menjadi semakin serius dengan peningkatan aktiviti penipuan sehingga 63 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, penipuan seperti Macau Scam, Love Scam dan Parcel Scam adalah antara ancaman utama yang akan memberi kesan secara serius kepada masyarakat.

"CIMB memandang serius perkara ini sebagai pihak korporat dan berharap usaha sama antara PDRM Kuala Lumpur ini dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai jenayah penipuan ini," katanya.

Berita Harian X