Khamis, 29 November 2018 | 3:27pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin (kiri) dan Pengerusi Sapura Energy, Datuk Hamzah Bakar pada EGM syarikat itu di Seri Kembangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin (kiri) dan Pengerusi Sapura Energy, Datuk Hamzah Bakar pada EGM syarikat itu di Seri Kembangan.

Sapura Energy tinjau lebih banyak kerjasama syarikat asing

SERI KEMBANGAN: Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) meninjau lebih banyak peluang kerjasama dengan syarikat luar negara bagi terus mengukuhkan prestasinya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Shahril Shamsuddin, berkata Sapura Energy akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dan kini sedang mempertimbangkan beberapa usaha sama daripada syarikat berpotensi dalam segmen penggerudian.

"Beberapa syarikat luar negara kini sudah berbincang mengenai perkara itu dan kami sedang meneliti untuk memilih rakan kerjasama terbaik serta mampu menawarkan harga terbaik.

"Kerjasama berkenaan adalah lebih kurang sama dengan perjanjian usaha sama (JV) dengan syarikat O&G bersepadu Austria, OMV Aktiengesellschaft (OMV AG), yang sudah ditandatangani sebelum ini,”katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Sapura Energy, Datuk Hamzah Bakar.

Shahril berkata, setakat ini Sapura Energy memiliki 16 aset bagi segmen penggerudian yang mampu digunakan bagi tempoh 15 hingga 20 tahun.

"Kadar penggunaan bagi aset berkenaan kini mencecah 35 peratus iaitu kira enam hingga tujuh aset," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan EGM, beliau berkata, pemegang saham bersetuju berhubung resolusi untuk terbitan hak bagi meraih RM4 bilion.

Suntikan dana itu katanya, akan memberi nilai lebih baik kepada pemegang saham dan menjana keuntungan kepada syarikat, di tengah-tengah peluang yang lebih baik untuk berkembang.

Sapura Energy bercadang menggunakan dana yang akan dikumpul untuk mengurangkan kira-kira RM16 bilion hutangnya dengan bank dan membolehkan ia mempunyai fleksibiliti kewangan lebih baik selain lembaran imbangan lebih kukuh.

Dana berkenaan akan dapat menjimatkan kira-kira RM174 juta setahun untuk bayaran faedah pinjaman dan mengurangkan tahap paras hutang kepada 0.94 kali.

Terbitan hak itu juga akan meningkatkan bilangan saham syarikat kepada 15.98 bilion saham daripada 5.99 bilion saham, dengan pengembangan selanjutnya kepada 19.37 bilion saham apabila saham keutamaan boleh tukar boleh tebus Islam (RCPS-i) syarikat berkenaan dan waran percuma diubah sepenuhnya.

Sehingga ini, nilai perolehan kontrak dalam tangan Sapura Energy berjumlah RM18.2 bilion, termasuk bagi tempoh kewangan 2019 yang berjumlah RM4.4 bilion.

Berita Harian X