Rabu, 28 November 2018 | 5:15pm

Keputusan terbitan hak RM4 bilion Sapura Energy ditentu esok

KUALA LUMPUR: Pemegang saham Sapura Energy Bhd esok akan diminta membuat keputusan berhubung beberapa resolusi penting pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat berkenaan, dengan yang paling utama adalah kelulusan untuk terbitan hak bagi meraih RM4 bilion.

Usaha suntikan dana itu dijangka memberikan nilai lebih baik kepada pemegang saham dan membawa syarikat berkenaan kepada keuntungan di tengah-tengah peluang yang lebih baik untuk berkembang.

Ringkasnya, syarikat berkenaan bercadang menggunakan dana yang akan dikumpul untuk mengurangkan kira-kira RM16 bilion hutangnya dengan bank dan membolehkan ia mempunyai fleksibiliti kewangan yang lebih baik selain lembaran imbangan yang lebih kukuh.

Apabila Sapura Energy berjaya meraih dana yang sangat diperlukan itu, ia akan dapat menjimatkan kira-kira RM174 juta setahun untuk bayaran faedah pinjaman dan mengurangkan tahap kadar hutang kepada 0.94 kali.

Terbitan hak itu juga akan meningkatkan bilangan saham syarikat kepada 15.98 bilion saham daripada 5.99 bilion saham, dengan pengembangan selanjutnya kepada 19.37 bilion saham apabila saham keutamaan boleh tukar boleh tebus Islam (RCPS-i) syarikat berkenaan dan waran percuma diubah sepenuhnya.

Permodalan Nasional Bhd (PNB), yang secara kolektif memegang kira-kira 12 peratus Sapura Energy pada masa ini, menyatakan bahawa ia akan melanggan sepenuhnya haknya dan diberikan aku janji membeli lebihan saham yang tidak diambil sehingga kepada jumlah yang akan dipersetujui kemudian.

Ini mungkin memberikan keputusan yang mana Kumpulan PNB mempunyai pegangan sehingga 40 peratus selepas terbitan hak itu dan muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar.

Dalam hal ini, pemegang saham juga akan diminta untuk mengundi bagi pengecualian untuk Kumpulan PNB dan kumpulan yang bertindak bersama daripada melaksanakan ambil alih mandatori Sapura Energy pada EGM berkenaan.

Walaupun perkara ini dilihat sebagai mengurangkan nilai saham dalam kalangan pemegang saham, Credit Suisse dalam analisisnya baru-baru ini mengatakan bahawa, ia menjangka Sapura Energy akan mencipta nilai dengan langkah untuk pemegang saham diberi ganjaran dalam jangka panjang.

Credit Suisse juga menyifatkan lembaran imbangan yang lebih baik akan membantu merangsang kebolehlarasan Sapura Energy pada masa depan.

Sehingga hujung November 2018, nilai perolehan kontraknya adalah RM18 bilion dengan prospek untuk mendapat lebih banyak, termasuk pencapaian terkininya untuk dipilih menyertai program Perjanjian Jangka Panjang Aramco dari Arab Saudi untuk kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pemasangan.

– BERNAMA

Berita Harian X