Isnin, 19 November 2018 | 3:04pm
JEFFREY Chew. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
JEFFREY Chew. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Paramount, universiti Australia jalin kerjasama strategik

KUALA LUMPUR: Paramount Corporation Bhd, mengadakan kerjasama strategik dengan universiti awam Australia, University of Wollongong (UOW), bagi meningkatkan perniagaan pendidikan tingginya.

Ketua Pegawai Eksekutif Paramount, Jeffrey Chew, berkata kerjasama bernilai RM38.5 juta itu membabitkan anak syarikat milik penuh UOW, iaitu UOW Global Enterprises, yang membeli 65 peratus saham di dalam perniagaan dan operasi KDU University College dan KDU Penang University College, selain 70 peratus saham dalam KDU College.

“Kerjasama strategik itu adalah pemangkin untuk meningkatkan dengan cepat KDU di dalam pasaran yang kompetitif ini. Ia akan membantu membezakan KDU dengan institusi pendidikan tinggi lain di pasaran.

“UOW membawakan pakar pendidikan tinggi daripada Australia, Hong Kong dan Dubai, sementara pengalaman Paramount dan kehadirannya di Malaysia, digabungkan bersama kemahiran pengurusan yang kukuh dan kredibiliti jenama, akan menyumbang serta memberikan manfaat kepada pertumbuhan perniagaan,” katanya selepas menandatangani kerjasama itu, di sini, hari ini.

Chew berkata, UOW Global sudah menubuhkan syarikat Malaysia, UOW Sdn Bhd, bagi melaksanakan transaksi itu.

Melalui cadangan pensekuritian aset yang diumumkan pada 25 Okotober lalu, KDU University dan KDU Penang University akan menjual hartanah kampus universitinya bernilai RM420 juta sebelum kemasukan UOW dan kemudiannya memajak hartanah itu.

“Kami masih merangka terma perjanjian pajakan dengan UOW dan menjangka memuktamadkannya tidak lama lagi,” katanya.

Chew berkata, rangkaian kampus UOW dijangka menyediakan pelajar dan kakitangan KDU lebih banyak peluang untuk pertumbuhan.

“Kemasukan UOW dengan cara yang kukuh ini juga bermakna akses kepada dapatan penyelidikan, rangkaian mentor perniagaan, pemimpin industri dan inovasi industri oleh perusahaan kecil dan sederhana Malaysia, kedua-duanya di wilayah tengah dan utara di mana KDU akan membuka kampus Batu Kawan (di Pulau Pinang) tidak lama lagi.

“Kami juga menjangka kemasukan UOW akan mengukuhkan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pendidikan kerana sehingga 2017, kurang daripada 105,000 pelajar asing di institusi pendidikan tinggi swasta berada di Pulau Pinang,” tambahnya. - BERNAMA

Berita Harian X