Ahad, 11 November 2018 | 3:11pm
MANJUNG 5, loji janakuasa arang batu terbaharu milik TNB yang dilengkapkan dengan teknologi ulta-super-kritikal. - Foto Energy Watch
MANJUNG 5, loji janakuasa arang batu terbaharu milik TNB yang dilengkapkan dengan teknologi ulta-super-kritikal. - Foto Energy Watch
PROJEK Solar Skala Besar milik TNB di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor memulakan operasi baru-baru ini. - Foto TNB
PROJEK Solar Skala Besar milik TNB di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor memulakan operasi baru-baru ini. - Foto TNB

RE, gabungan tenaga, kaedah TNB tangani kenaikan kos

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menyasar untuk meningkatkan saranan tenaga boleh diperbaharui bagi gabungan tenaga daripada dua peratus kepada 20 peratus bagi tempoh 2025 hingga 2030.

Ini menjadi petanda baik bagi industri bekalan elektrik (ESI), yang kini bergelut dengan peningkatan harga arang batu global memandangkan akhirnya, sasaran baharu ini mungkin membolehkan tarif ditetapkan pada kadar yang lebih stabil pada masa depan, menurut penganalisis.

Sebanyak 53 peratus daripada tenaga elektrik Malaysia dijana oleh arang batu, 42 peratus oleh gas asli dan bakinya oleh hidro dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Harga semasa arang batu bergerak melebihi AS$100 satu tan, meningkat lebih 100 peratus selepas mencecah paras terendah dalam tempoh 10 tahun pada 2016 (di bawah AS$50 satu tan).

Peningkatan sejak Julai lalu telah menjejaskan kos penjanaan ESI kerana arang batu diimport 100 peratus, dengan lebih 60 peratus dibeli dari Indonesia dan bakinya dari Australia, Afrika Selatan dan Russia.

“Permintaan arang batu bagi dua tahun akan datang dijangka kekal stabil pada sekitar paras semasa,” kata Pakar Ekonomi Tenaga Kanan di ABN Amro, Hans van Cleef.

“Walaupun laporan berita menunjukkan bahawa permintaan arang batu akan meningkat dalam tempoh terdekat, realitinya permintaan itu kekal stabil bagi tahun-tahun akan datang,” katanya.

Bagi menghadapi cabaran berkenaan, industri sebenarnya telah bersedia dengan mengambil langkah beberapa tahun ke hadapan menerusi kecekapan penjanaan tenaga yang lebih baik melalui loji jana kuasa arang batu.

Semua loji jana kuasa arang batu baharu kini menggunakan teknologi ‘ultra-supercritical’ (USC) yang membakar arang batu dalam kuantiti yang lebih kecil namun menjana lebih tenaga, serta mematuhi piawaian pelepasan.

Manjung 4 - loji 1,000 MW milik Tenaga Nasional Bhd, yang memulakan operasi pada 2015, adalah loji jana kuasa arang batu USC pertama di Asia Tenggara.

Ia boleh menghasilkan elektrik yang mencukupi untuk dua juta rumah dengan pengurangan tiga peratus penggunaan arang batu.

Melangkah ke hadapan, kerajaan telah menyediakan beberapa mekanisme untuk meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui dalam penjanaan kuasa.

Ini termasuk Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), loji solar berskala besar (LSS), Skim Pembiayaan Sukuk Hijau dan mekanisme Tarif Galakan.

TNB, syarikat utiliti nasional komited untuk menyokong agenda RE kerajaan.

Sebagai sebahagian daripada Pelan Strategik 10 tahunnya, TNB bercita-cita untuk menjadi peneraju ASEAN dalam sektor RE ketika permintaan terhadap tenaga hijau melonjak.

Syarikat itu telah memulakan LSS terbesar di negara ini melalui projek 50 megawatt (MW) di Kuala Langat, Selangor dan beberapa usaha sama berkaitan stesen jana kuasa biomas dan biogas.

Usaha terbaru TNB adalah melalui anak syarikat tenaga boleh diperbaharuinya di mana syarikat itu merancang untuk menawarkan pembiayaan pakej penjanaan kendiri bagi panel solar fotovoltan (PV) kepada pelanggan kediaman menjelang akhir tahun ini.

Pakej terbabit telah ditawarkan kepada pelanggan komersial dan industri sebelum ini.

Tumpuan jangka pendek segera kerajaan adalah meneroka projek yang boleh diperbaharui berskala besar yang berdaya maju di bawah tarif yang sama seperti loji berasaskan bahan api fosil.

Ini penting untuk mengekalkan harga yang rendah dalam memastikan kemampuan tarif elektrik.

Melalui dorongan yang kuat oleh MESTECC serta sokongan kukuh TNB dan industri, negara ini sedang bergerak dalam keadaan baik ke arah memenuhi janji kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada KDNK sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

– BERNAMA

Berita Harian X