Jumaat, 9 November 2018 | 10:00pm

Shopee Malaysia yakin Realme 2 Pro akan habis dijual

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang, Shopee Malaysia, yakin telefon pintar Realme 2 Pro yang tersedia untuk jualan semasa kempen 11.11 Big Sale akan habis dijual.

Pengurus Kategori Shopee Malaysia, Calvin Teng berkata, keyakinan itu adalah berasaskan kepada jualan Realme 2 Pro di Indonesia, di mana sebanyak 33 bilion rupiah (RM9.43 juta) dibelanjakan bagi satu model itu sahaja dalam masa hanya tiga minit semasa pelancaran jenama tersebut di negara itu pada bulan lepas.

“Di bawah perkongsian dengan Realme, kami mempunyai kurang daripada 10,000 unit Realme 2 Pro untuk dijual di Shopee.

“Dengan kempen 11.11 Big Sale kami yang akan datang, di mana telefon pintar itu akan dijual dengan harga bermula daripada RM799 pada hari itu sahaja (11 Nov) berbanding harga biasa RM849, kami yakin produk tersebut akan habis dijual,” katanya.

Teng berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran telefon pintar baharu China jenama Realme itu dengan tiga produk – Realme2, Realme 2 Pro dan Realme C1 – di sini.

Di bawah perkongsian dengan Realme, Shopee akan menjadi platform eksklusif untuk menjual Realme 2 Pro dari 11 Nov hingga 12 Dis, di mana telefon pintar itu akan berharga mengikut konfigurasi pada RM849, RM949 dan RM1,099 masing-masing bagi 3GB/32GB, 4GB/64GB, dan 8GB/128GB.

Sementara itu, Realme C1 akan dijual secara eksklusif di Lazada Malaysia dengan harga istimewa RM399 (harga biasa: RM449) bagi tempoh sebulan daripada 22 November, manakala Realme2 akan dijual pada harga RM599 di kedai-kedai terpilih mulai 24 November.

Dengan slogan “Proud to Be Young”, Realme, yang ditubuhkan secara rasmi pada 4 Mei, 2018, menumpukan kepada merevolusikan telefon pintar bagi generasi muda, menggabungkan prestasi terbaik dengan gaya kontemporari. – BERNAMA

Berita Harian X