Rabu, 31 Oktober 2018 | 2:40pm

Samsung kurangkan capex

SEOUL: Samsung Electronics Co Ltd mengurangkan perbelanjaan modal (capex) 2018 lebih satu perempat hari ini dan mengingatkan bahawa keuntungan lebih rendah sehingga awal tahun depan.

Ia berkata, zaman kemuncak cip memori yang mendorong melonjakkan keuntungan suku kewangan ketiganya, sudah berakhir.

Unjuran yang lebih rendah oleh pengeluar memori cip dan telefon pintar terbesar dunia itu menambah kebimbangan pelabur berhubung penyusutan permintaan global terhadap mudah alih dan peranti elektronik.

Gergasi teknologi Korea Selatan itu berkata, ia menjangka pendapatan suku-ke-suku menyusut pada suku keempat ini disebabkan permintaan lemah terhadap cip memori dan perbelanjaan pemasaran lebih tinggi semasa musim cuti hujung tahun.

"Tinjauan bagi 2019, pendapatan diunjurkan lebih lemah pada suku pertama disebabkan faktor bermusim, tetapi mengukuh kemudiannya apabila persekitaran perniagaan, terutamanya dalam pasaran memori, bertambah baik," kata Samsung dalam satu kenyataan.

Samsung berkata, perbelanjaan modal tahun ini dijangka susut 27 peratus kepada 31.8 trilion won (AS$28 bilion) daripada rekod 43.4 trilion won tahun lalu.

Samsung mencatat keuntungan operasi sukuan tertinggi berjumlah 17.6 trilion won (AS$15.4 bilion) bagi suku kewangan ketiga.

Peningkatan itu disumbang terutamanya oleh jualan padu cip memori.

Syarikat itu melaporkan keuntungan bersih 13.1 trilion won bagi tempoh Julai-September, naik 17.5 peratus berbanding setahun lalu - Reuters

Berita Harian X