Khamis, 25 Oktober 2018 | 9:32pm

Paramount jual tiga kampus KDU

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Paramount Corporation Bhd merancang untuk menjual tiga kampus KDU bernilai RM420 juta kepada Dynamic Gates Sdn Bhd.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Paramount mengumumkan KDU University College (PG) Sdn Bhd dan KDU University College Sdn Bhd (KDUUC) memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Dynamic Gates.

“Penjualan dan pembelian premis KDU Penang University College Campus (Jalan Anson Campus Properties) dengan nilai RM50 juta akan dipenuhi melalui gabungan RM35 juta secara tunai dan terbitan 15 juta saham keutamaan tidak boleh tukar boleh tebus kumulatif (CRNCPS) baharu dalam DGSB pada harga terbitan RM1 setiap CRNCPS,” kata syarikat itu.

Penjualan kedua membabitkan premis KDU Penang University College Campus (Batu Kawan Campus Properties) dengan nilai RM120 juta yang akan dipenuhi melalui gabungan RM84 juta secara tunai dan terbitan 36 juta CRNCPS baharu dalam DGSB pada RM1 setiap CRNCPS.

Akhir sekali, penjualan Utropolis Glenmarie Campus dengan nilai RM250 juta yang akan dipenuhi melalui gabungan RM175 juta secara tunai dan terbitan 75 juta CRNCPS baharu dalam DGSB pada RM1.00 setiap CRNCPS.

-BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X