Isnin, 15 Oktober 2018 | 9:35am

MAHB fokus jadikan Malaysia hab penerbangan dunia

LANGKAWI: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) komited menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan global menerusi model ‘hub and spoke’, dengan menghubungkan lapangan terbang tempatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kami sedang bergerak ke hadapan untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi dalam perkembangan global, dengan menggabungkan kekuatan lapangan terbang kecil untuk membina hab global,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Azmi Raja Nazuddin.

Beliau menambah, MAHB akan terus menyokong pertumbuhan rangkaian lapangan terbangnya di dalam negara, terutama lapangan terbang antarabangsa di Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi dan Pulau Pinang.

Raja Azmi berkata, lapangan terbang berkenaan akan menyumbang ke arah berfungsi sebagai destinasi terus dan lapangan terbang sambungan ke KLIA, di sebalik saiz yang agak kecil.

Sebagai contoh, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi baru-baru ini akan membantu membina penanda aras baharu untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi ASEAN bagi perniagaan dan pelancongan.

“Model ‘hab and spoke’ membantu membawa trafik global ke lapangan terbang lebih kecil dan trafik dari lapangan terbang kecil ke destinasi seluruh dunia,” katanya.

Raja Azmi berkata, lapangan terbang lebih kecil secara umumnya tidak mempunyai permintaan trafik penumpang bagi operasi menguntungkan daripada sektor antarabangsa disebabkan jumlah yang tidak mencukupi bagi operasi sedemikian.

“Justeru, adalah terbaik bagi penumpang mengambil penerbangan ke KLIA dan menghubungkannya dengan penerbangan domestik biasa ke Lapangan Terbang Langkawi,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa model ‘hub and spoke’ menawarkan perkhidmatan fleksibel, malahan kepada pelancong untuk ke Lapangan Terbang Langkawi, jika penumpang mahu berbuat demikian.

“Pengumpulan trafik melalui hab seperti KLIA menjadikannya lebih berdaya maju bagi pertambahan kekerapan ke Lapangan Terbang Langkawi dari KLIA. Dengan mengukuhkan trafik di KLIA, syarikat penerbangan boleh menawarkan kekerapan lebih tinggi,” katanya menambah bahawa model ‘hub and spoke’ perlu dilakukan demi kelangsungan lapangan terbang bersaiz kecil.

Raja Azmi berkata, semua lapangan terbang mengukuhkan trafiknya menerusi sambungan KLIA, termasuk lapangan terbang domestik.

Sebagai pengendali lapangan terbang, beliau juga menegaskan bahawa MAHB memainkan peranan penting dalam menyokong kemasukan pelancong ke Malaysia.

“MAHB secara konsisten meletakkan pelbagai strategi dan inisiatif untuk menarik syarikat penerbangan mengendalikan dari lapangan terbang kami, yang secara umumnya diusahakan oleh unit pemasaran lapangan terbang kami dengan menumpukan sektor pertumbuhan seperti China, India dan ASEAN.

“Kami juga menyertai acara antarabangsa seperti Routes Asia dan World Routes untuk berhubung dengan syarikat penerbangan global sedia ada serta berpotensi bagi menarik mereka beroperasi dari lapangan terbang MAHB selain menggalakkan syarikat penerbangan menambah kekerapan,” katanya.

Berita Harian X