Selasa, 25 September 2018 | 9:28pm

Sapura Energy dapat sokongan pemegang saham utama

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd menerima sokongan padu daripada dua pemegang saham utamanya, Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Sapura Technology Sdn Bhd, dalam cadangan penerbitan saham hak dengan waran dan terbitan saham hak mudah alih boleh ditebus Islamik (RCPS-i).

Dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata ia sudah mendapat komitmen daripada Maybank Investment Bank dan Credit Suisse untuk menaja jamin mana-mana bahagian saham hak terbuka yang masih belum dimiliki oleh pemegang saham.

Terbitan hak itu memerlukan peningkatan sehingga RM4 bilion, yang mana sehingga RM3 bilion akan melalui terbitan hak saham biasa dengan waran percuma dan sehingga RM1 bilion melalui terbitan hak RCPS-i.

PNB dan dana bersekutunya (Kumpulan PNB) akan melanggan saham hak penuhnya dengan waran, dan saham berlebihan dengan waran tidak diambil, membolehkan pegangan saham Kumpulan PNB sebanyak 40 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan pasca hak.

Di samping itu, Kumpulan PNB akan melanggan sepenuhnya kepada RCPS-i sebanyak RM1 bilion.

“Sebaik selesai terbitan hak, Kumpulan PNB akan muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar.

“Sapura Technology, pemegang saham langsung, akan melanggan terbitan hak untuk jumlah minimum sebanyak RM300 juta seperti yang diumumkan sebelumnya,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin, berkata pihaknya menghargai kesediaan PNB untuk memulakan fasa pertumbuhan seterusnya dan keyakinannya terhadap prospek kami untuk masa depan di sebalik keadaan industri yang bertambah baik.

Katanya, Sapura Energy tetap komited untuk memberikan nilai yang lebih besar dan mewujudkan masa depan yang mampan untuk pemegang sahamnya.

Berita Harian X