Isnin, 24 September 2018 | 2:25pm
MOHAMAD Idham Nawawi. - Foto fail NSTP

Celcom, Ericsson bekerjasama perluas dan naiktaraf rangkaian LTE di Malaysia

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd menjalin kerjasama dengan Ericsson untuk memperluas dan menaiktaraf rangkaian LTE Celcom di Malaysia.

Menerusi perjanjian itu, Ericsson akan menyediakan Rangkaian Akses Radio (RAN) daripada portfolio Sistem Radio Ericsson (ERS) miliknya untuk membantu Celcom memenuhi permintaan perkhidmatan data yang semakin meningkat di Malaysia.

Perkakasan RAN Ericsson juga akan membantu menyediakan platform untuk Celcom memperkembangkan rangkaiannya kepada 5G pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Mohamad Idham Nawawi, berkata pihaknya sentiasa di depan dalam menyediakan pelanggan dengan pengalaman data yang terbaik, dan terus komited dalam memastikan evolusi rangkaian dengan teknologi terkini.

Beliau berkata, kerjasama strategik itu bukan sahaja akan membantu pihaknya memperluaskan liputan LTE, tetapi juga membina asas untuk melancarkan perkhidmatan 5G.

“Kami akan terus memacu inovasi teknologi di Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan terkini, dan membolehkan Malaysia bersaing dalam ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Ericsson mengumumkan kesemua produk radio dalam portfolio ERS miliknya yang terrsedia sejak tahun 2015 akan dapat menyokong NB-IOT dan keupayaan 5G New Radio (NR).

Evolusi rangkaian itu didorong oleh permintaan bagi penambahbaikan pengalaman pengguna dan operasi rangkaian yang lebih efisyen dari segi kos.

ERS akan memudahkan pengendali rangkaian seperti Celcom untuk mengaktivasi teknologi seperti NB-IOT, 5G dalam rangkaiannya dan mengambil langkah awal dalam mengkomersilkan keupayaan 5G dan aplikasi terkini, dengan bersandar kepada perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang termaju.

Perisian rangkaian radio 5G/IOT terus melengkapi pelbagai teknologi sokongan jalur asas dan radio yang telah dilancarkan oleh Ericsson.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, Todd Ashton, berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Celcom dalam tempoh yang lama dan kami berbesar hati untuk menyokong syarikat terbabit dalam memperluas dan menaiktaraf rangkaian LTE miliknya di seluruh Malaysia.

“Ia akan membolehkan Celcom menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik untuk jutaan rakyat Malaysia, di samping menyediakan rangkaiannya bagi evolusi 5G,” katanya.

Pada tahun 2017, Ericsson dan Celcom telah melaksanakan percubaan rangkaian 5G yang pertama di Malaysia, sekaligus memacu evolusi teknologi telekomunikasi negara ini.

Ia adalah percubaan 5G yang pertama dijalankan dengan jalur 28GHz di Asia Tenggara.

Berita Harian X