Jumaat, 24 Ogos 2018 | 6:06pm

Kilang baharu Hartalega perkukuh kapasiti pengeluaran

KUALA LUMPUR: Kilang pengeluaran sarung tangan lateks baharu Hartalega Holdings Bhd yang dijadualkan siap pada separuh kedua 2019 dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat sebanyak 15 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Pengarah Urusannya Kuan Mun Leong, berkata kapasiti pengeluaran syarikat dijangka meningkat kepada lebih 44 bilion sarung tangan lateks premium setahun daripada 30 bilion setahun ketika ini.

“Sebagai sebahagian penting daripada pelan pertumbuhan jangka panjang kami, kami juga mempercepatkan penggunaan pakai Internet Kebendaan (IoT), bermula dengan Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Seterusnya (NGC) Plant 5 yang telah memulakan pengeluaran bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat, hari ini.

Beliau berkata penggunaan pakai IoT bukan hanya bertujuan untuk meningkatkan produktiviti tetapi juga mengurangkan kesilapan manusia dan kebergantungan kepada pekerja asing, serta membolehkan pemantauan digital barisan pengeluaran.

“Dalam tempoh terdekat ini, kami berharap dapat melaksanakan pembungkusan sarung tangan berautomasi ke dalam kotak yang mana ketika ini adalah menerusi proses manual. Kami akan sentiasa mencari lebih banyak jalan untuk menggunakan peralatan IoT dan data raya dalam perniagaan kami,” katanya.

Beliau berkata penghantaran pertama sarung tangan antimikrobnya (AMG), produk terbaharu syarikat, akan tiba di Jerman untuk dihantar ke sebuah syarikat pembekal perubatan.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat kelewatan dalam serahan AMG kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan kelulusan eksport ke pasaran negara itu.

“Kelewatan itu disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk keputusan ujian yang mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan, tetapi kami berharap ia akan diluluskan pada separuh pertama 2019,” katanya.

Kuan berkata walaupun lebih 30 peratus eksport syarikat itu adalah bagi pengguna AS, kira-kira 60 peratus adalah bagi pasaran bukan-FDA, termasuk Jepun, Korea Selatan dan negara-negara Eropah.

“Kami juga tidak menjangkakan sebarang kesan yang timbul daripada ketegangan perdagangan antara AS-China ketika ini,” katanya.

AMG Hartelaga dibangunkan secara kerjasama dengan penyelidik berpangkalan di United Kingdom dan menyediakan perlindungan tambahan bagi mengelakkan jangkitan semasa pemeriksaan perubataan, dan akan berada di pasaran tempatan pada 2018.

Sementara itu, ditanya mengenai impak daripada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September depan, Kuan berkata kesannya dijangka hampir tidak ada kerana ia adalah syarikat import dan akan dikecualikan daripada kebanyakan cukai. - BERNAMA

Berita Harian X