Jumaat, 24 Ogos 2018 | 5:10pm

Sapura Energy kemuka cadangan terbitan hak RM4 bilion

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd mengemukakan cadangan terbitan hak sebagai sebahagian rancangan strategiknya untuk mengukuhkan perniagaan teras kumpulan, memantapkan kedudukan kewangan dan mewujudkan nilai lebih baik untuk pemegang sahamnya.

Proses itu akan menjana sehingga RM4 bilion, yang mana RM3 bilion adalah menerusi terbitan hak saham biasa dengan waran percuma dan sehingga RM1 bilion menerusi terbitan hak saham keutamaan boleh ubah boleh tebus patuh Syariah.

Presiden yang juga Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata Sapura Energy kini berada dalam fasa pertumbuhan yang kukuh dan syarikat bertekad untuk mengambil peluang terhadap peluang yang baru muncul.

“Terbitan hak berkenaan akan membolehkan kami mengukuhkan imbangan tunai syarikat dan meneruskan momentum pertumbuhan termasuklah dalam aspek pembidaan dan melaksanakan projek bernilai tinggi di peringkat global.

“Sejak bertahun-tahun lalu, setiap satu daripada tiga perniagaan kumpulan yang berlainan telah berkembang dan menempatkan diri sebagai peserta bertaraf dunia dalam segmen masing-masing.

“Perniagaan kami telah berkembang kepada skala yang besar dan ia adalah masa yang sesuai untuk Sapura Energy melaksanakan pelan strategi kami yang membolehkan setiap perniagaan mempunyai akses kepada pasaran modal untuk terus berkembang,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Sapura Energy menyasar untuk meneroka nilai perniagaan mereka bagi pihak pemegang saham.

“Ia akan dilakukan menerusi usaha bersepadu untuk mengurangkan hutang Kumpulan, meningkatkan pegangan ekuiti dan memastikan perniagaannya mempunyai modal yang mencukupi.

Sapura Energy kini aktif meneroka pasaran yang lebih besar di rantau utama termasuklah Asia Barat, Afrika, Amerika Latin, Caspian, Mediterranean serta Asia Tenggara dan Australia.

Sehingga kini, kumpulan telah memperoleh kontrak berjumlah RM4. 5 bilion dan nilai tempahan meningkat kepada RM16.7 bilion dengan kontrak yang diperoleh di Mexico, Brazil, India, Australia dan Malaysia sejak bermulanya tahun kewangan.

Sebagai tambahan kepada cadangan terbitan hak itu, Sapura Energy juga sedang menilai pelbagai pilihan yang mungkin membabitkan penyenaraian perniagaan penerokaan dan pengeluaran (E&P) dan meneroka kerjasama strategik yang berkemungkinan bagi perniagaan cari galinya.

Cadangan terbitan hak itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan kelak.

Berita Harian X