Jumaat, 17 Ogos 2018 | 3:02pm

Sunway Lagoon sasar 1.5 juta pengunjung

SUBANG JAYA: Sunway Lagoon Sdn Bhd yakin berada landasan tepat untuk mencapai sasaran menarik sehingga 1.5 juta pengunjung menjelang hujung tahun ini.

Pengurus Besarnya, Sean SL Choo, berkata sasaran itu dapat dicapai melalui kempen pemasaran dan promosi berterusan taman tema air terbesar negara itu.

"Walaupun terdapat persaingan daripada beberapa taman tema lain, tetapi Sunway Lagoon yakin dapat terus mengekalkan momentum kehadiran pengunjung.

"Malah dalam tiga bulan kebelakangan ini, kami mencatatkan peningkatan pengunjung sekali gus menyumbang kepada keuntungan tahunan syarikat.

"Syarikat juga yakin dengan keadaan pasaran ekonomi negara kini dan trend perbelanjaan untuk hiburan seperti taman tema air akan kekal positif," katanya selepas melancarkan kempen Sambutan Kemerdekaan Negara Sunway Lagoon di sini, hari ini.

Kempen yang bakal berlangsung selama sebulan bermula semalam sehingga 16 September ini akan mempamerkan makanan serta permainan tradisional Malaysia kepada pengunjung.

Choo berkata, ia bagi memberi gambaran dan kelainan kepada pengunjung terutama pengunjung luar negara merasai dan meraikan sambutan bulan kemerdekaan negara.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan selama sebulan ini dan ia memberi keistimewaan tersendiri berbanding taman tema air yang lain.

"Kami menyasarkan peningkatan sebanyak 10 hingga 15 peratus sepanjang kempen kemerdekaan Sunway Lagoon ini ditambah pula dengan kedatangan musim cuti sekolah.

"Ia akan terus mengekalkan kedudukan Sunway Lagoon sebagai taman tema keempat paling dikunjungi di Asia dan ke-14 di dunia selain dinobatkan sebagai “Asia Best Attraction”,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X