Isnin, 13 Ogos 2018 | 6:17pm

Malaysia Airlines tawar diskaun 40 peratus

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd menawarkan diskaun sehingga 40 peratus bagi 1.5 juta tempat duduk ke destinasi terpilih sempena kempen Malaysia Airlines Travelicious Deals (MATD) pada 14 hingga 20 Ogos ini.

Kempen MATD yang pertama kali diadakannya itu turut menawarkan diskaun ke atas pemilihan tempat duduk atau elaun bagasi tambahan dan sehingga 10 peratus ke atas barangan mewah yang ditawarkan dalam penerbangan bebas cukai.

Ketua Pegawai Perolehan Kumpulan Malaysia Airlines, Ignatius Ong, berkata syarikat itu komited memberikan tawaran perjalanan yang hebat dipadankan dengan Hospitality Malaysia kepada pelanggan.

“MATD menyediakan peluang kepada pelanggan melancong ke beberapa destinasi terbaik kami, bersama dengan perkhidmatan dalam penerbangan yang unggul, tanpa kos tambahan atau tersembunyi,” katanya dalam satu kenyataan.

MATD antaranya menawarkan tiket kelas ekonomi pergi balik bermula dari serendah RM409 ke Yangon, RM469 ke Surabaya, RM709 ke Hong Kong dan RM769 ke Manila.

Bagi destinasi lain pula, ia menawarkan tiket bermula dari RM739 ke Chennai, RM859 ke Hyderabad, RM999 ke Xiamen, RM1,009 ke Fuzhou atau ke Sydney dari serendah RM1,499 dan RM2,899 ke London.

Tiket kelas ekonomi bagi laluan sehala dari Kuala Lumpur juga boleh didapati bermula serendah RM159 ke Langkawi, Pulau Pinang dan Kuantan serta RM299 ke Kuching, Miri dan Sibu manakala RM349 ke Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

Semua tiket penerbangan adalah sah untuk perjalanan dari 19 Ogos 2018 hingga 30 Jun 2019.

Pembelian bagi Jualan Pertengahan Tahun MAB itu boleh dibuat menerusi laman sesawang www.malaysiaairlines.com, aplikasi MHmobile dan di semua agen perjalanan dan rakan pelancongan.

“Pelanggan juga boleh menikmati sehingga 15 peratus potongan ke MHinsure, pemilihan tempat duduk, tambahan bagasi atau pakej tempat duduk dan bagasi, penebusan Enrich miles dari serendah 2,100 mata serta tambahan mata Enrich miles apabila mereka menempah hotel melalui Booking.com.

“Selain itu, khusus buat pelanggan Maxis dan Hotlink, mereka boleh menikmati diskaun tambahan sebanyak 10 peratus sepanjang kempen,” katanya.

Berita Harian X