Jumaat, 10 Ogos 2018 | 11:51am
Perolehan Sunway Real Estate Investment Trust Sdn Bhd (Sunway REIT) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018 naik 7.2 peratus kepada RM560.4 juta. - Foto NSTP
Perolehan Sunway Real Estate Investment Trust Sdn Bhd (Sunway REIT) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018 naik 7.2 peratus kepada RM560.4 juta. - Foto NSTP

Pendapatan diraih Sunway REIT meningkat 7.2 peratus

KUALA LUMPUR: Perolehan Sunway Real Estate Investment Trust Sdn Bhd (Sunway REIT) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018 naik 7.2 peratus kepada RM560.4 juta berbanding RM522.9 juta dicatat pada tempoh yang sama tahun lalu.

Ia disokong oleh segmen runcit dan sumbangan pendapatan hasil pengambilalihan yang baharu dilengkapkan, iaitu Sunway REIT Industri - Shah Alam Satu dan hartanah Sunway Clio, pada jumlah RM436 juta.

Pendapatan hartanah bersih berkembang lapan peratus tahun ke tahun kepada RM419.9 juta.

Pendapatan bersih direalisasikan pula meningkat 4.2 peratus tahun ke tahun kepada RM281.9 juta, selaras dengan kenaikan pengagihan seunit (DPU) sebanyak 4.1 peratus tahun ke tahun kepada 9.57 sen.

Berdasarkan harga unit terakhir Sunway REIT pada Jun 30, 2018 iaitu RM1.77, DPU yang diistiharkan adalah bersamaan pengagihan hasil 5.4 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd Datuk Jeffrey Ng, berkata berdasarkan kitaran normalisasi kadar faedah global, pengurus dana mengambil sikap berhati-hati terhadap prospek dan usaha mengekalkan DPU dalam tahun kewangan 2019.

"Segmen runcit dan hotel dijangka berkembang dengan sederhana, namun, sebahagiannya akan diimbangi oleh gangguan pendapatan daripada aktiviti pengubahsuaian yang berterusan di Sunway Resort Hotel & Spa.

"Dalam persekitaran operasi yang mencabar, kami perlu menaik taraf dan menyegarkan kemudahan hotel untuk meningkatkan pengalaman tetamu dan kekal relevan dengan keperluan dan citarasa tetamu hotel yang sentiasa berubah," katanya dalam satu kenyataan.

-BERNAMA

Berita Harian X