Khamis, 9 Ogos 2018 | 4:31pm

Geely rancang labur RM7.85 bilion pulihkan Lotus

BEIJING: Pemilik Lotus Cars, Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely) sedang menimbangkan pelaburan sekurang-kurangnya 1.5 bilion pound (RM7.85 bilion) untuk memulihkan semula jenama kereta Britain yang pernah ditampilkan dalam filem James Bond, kata individu yang rapat dengan perkembangan itu.

Geely, yang juga mempunyai kawalan dalam Volvo Car Group, merancang untuk menambah kemudahan pengeluaran dan pusat penyelidikan Lotus Cars di United Kingdom (UK), kata salah seorang daripada individu itu, yang enggan dikenali kerana perkara itu adalah sulit.

Geely juga sedang berunding untuk menambah 51 peratus kepentingannya dalam Lotus dengan rakan pemiliknya di Malaysia, Etika Automotive Sdn Bhd yang ketika ini menguasai baki kepentingan, kata seorang lagi individu.

Seorang jurucakap Geely Group tidak memberikan maklum balas kepada e-mel yang meminta mengulas perkara itu, manakala panggilan telefon ke pejabat Etika Automotive tidak dijawab.

Rancangan pelaburan itu adalah sebahagian cita-cita besar hartawan Li Shufu untuk mentransformasi Geely menjadi pengeluar kereta utama menyaingi Toyota Motor Corp dan Volkswagen AG.

Kumpulan perniagaan Li membeli Volvo pada 2010 dan membelanjakan lebih daripada AS$11 bilion (RM57.5 bilion) untuk memodenkan kilangnya dan membantu memulihkan jenama Sweden itu.

Februari lalu, Li muncul pemegang saham terbesar pengeluar kereta mewah Jerman, Daimler AG dengan hampir 10 peratus kepentingan.

Di bawah cadangan Geely, fasa pertama akan membabitkan perluasan kilang Lotus di Hethel dengan mengambil 200 jurutera, kata salah seorang sumber.

Selepas itu, ia merancang untuk membina kilang kedua di UK, berkemungkinan di wilayah West Midlands serta menambah sebuah pusat reka bentuk dan inovasi, berkemungkinan di Coventry.

Geely membeli kepentingan Lotus daripada Proton Holdings Bhd tahun lalu, ketika ia turut mengumumkan pembelian 49.9 peratus kepentingan Proton.

Tahun lalu, Li berkata Geely sedang menimbangkan untuk menghasilkan kereta Lotus di China.

Pengeluar kereta China itu berharap untuk membina Lotus sebagai jenama mewah yang bersaing dengan Porsche dan Ferrari. - Bloomberg

Berita Harian X