Isnin, 6 Ogos 2018 | 1:12pm

GE sedia bantu perkukuh sektor tenaga Malaysia

KUALA LUMPUR: General Electric Co (GE) akan menunggu perkembangan lebih jelas mengenai sektor tenaga tenaga Malaysia sebelum meneruskan pelaburan di negara ini.

Pengurus Besar Komersial GE Steam Power, Dr Sacha Parneix, berkata syarikat bersedia memberikan penyelesaian diperlukan oleh peserta sektor tenaga, namun memerlukan lebih penjelasan mengenai hala tuju masa depan sektor itu.

"Benar (kami menggunakan) pendekatan tunggu dan lihat. Sebagai penyedia teknologi, kami akan menyediakan maklumat kepada kementerian atau syarikat utiliti maklumat mengenai teknologi terbaik yang ada untuk membolehkan mereka membuat pilihan sewajarnya.

"Malah, kami cenderung kepada bahan api dengan tidak memilih sesebuah teknologi berbanding yang lain. Kami sudah bertemu dengan beberapa pihak berkepentingan beberapa bulan lalu bagi membincangkan teknologi terbaik dalam wap selain mendapatkan maklumat mengenai gas dan sumber boleh diperbaharui bagi membolehkan kerajaan membuat keputusan pilihan terbaik untuk negara ini," katanya kepada NSTP.

Parneix berkata, GE juga bertemu dengan Suruhanjaya Tenaga dan beberapa peserta industri termasuk pengeluar tenaga bebas (IPP).

Baru-baru ini, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berkata perjanjian IPP yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu sedang disemak semula.

Empat perjanjian dikatakan akan dimansuhkan menunggu keputusan selanjutnya mengenai perkara itu.

Bee Yin juga menggesa sumbangan tenaga boleh diperbaharui (tidak termasuk hidro) dinaikkan daripada dua peratus ketika ini kepada 20 peratus dalam jangka pertengahan.

Beliau tidak mendedahkan empat IPP yang dimansuhkan baru-baru ini, namun GE percaya tiada satu pihak terbabit adalah pelanggannya dan perkembangan itu tidak memberikan sebarang implikasi kos kepada kerajaan.

Parneix menjangkakan usaha tenaga boleh diperbaharui akan mewujudkan cabaran baharu kepada syarikat utiliti, sambil menyebabkan ketidakstabilan di peringkat pengurusan grid berikutan tenaga yang terputus-putus.

"Sebarang keputusan berhubung tenaga tidak hanya dipacu oleh teknologi memandangkan faktor lain seperti geopolitik, ekonomi dan alam sekitar juga menjadi pertimbangan," katanya.

Jumlah kapasiti Malaysia adalah kira-kira 37 GW dan dijangka meningkat kepada 53 GW dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ketika ini, arang batu dan gas asli merangkumi kira-kira 50:50 nisbah penjanaan kuasa negara, manakala hanya satu hingga dua peratus dijana oleh hidro dan solar.

Berita Harian X