Khamis, 2 Ogos 2018 | 11:27am
KETUA Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial CIMB Group, Effendy Shahul Hamid (dua dari kiri) pada pelancaran 'Kempen Deposit SME' di Kuala Lumpur.
KETUA Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial CIMB Group, Effendy Shahul Hamid (dua dari kiri) pada pelancaran 'Kempen Deposit SME' di Kuala Lumpur.

CIMB Bank lancar 'Kempen Deposit SME'

KUALA LUMPUR: CIMB Bank melancarkan 'Kempen Deposit SME' bagi menarik penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke pelbagai rangkaian produk dan perkhidmatan yang disediakan bank berkenaan.

Kempen berkenaan dibuka kepada pelanggan PKS baharu atau sedia ada dan penganjuran bermula dari 1 Mei lalu hingga 31 Oktober ini.

Ia menawarkan hadiah lumayan berupa lima unit Toyota Vellfire yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM1.75 juta.

Setiap pemenang akan diumumkan pada akhir bulan bermula Julai hingga November dan layak memenangi satu unit kenderaan pelbagai guna (MPV) itu

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial CIMB Group, Effendy Shahul Hamid, berkata PKS terus menjadi penyumbang utama dalam ekonomi negara dan pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan mereka menerusi pelbagai peringkat.

"Sejak bertahun, ramai di kalangan usahawan PKS yang menjadikan kami sebagai rakan kongsi mereka.

"Justeru, kempen ini diadakan bertujuan memperkenalkan peningkatan keupayaan perkhidmatan kewangan kami kepada pelanggan baharu dan sedia ada bagi memudahkan pertumbuhan serta perkembangan perniagaan mereka pada masa depan," katanya.

Perbankan Komersial CIMB Group menyediakan penyelesaian kewangan komprehensif bagi konvensional dan Islamik kepada pelbagai perniagaan seperti korporat pertengahan dan PKS.

Bank berkenaan juga meningkatkan keupayaan teknologi untuk menyediakan platform digital terbaik seperti Akaun Maya, yang meningkatkan keupayaan pelanggan untuk membuka beberapa akaun secara maya.

Turut ditawarkan, BizChannel iaitu platform digital yang mampu menyelesaikan pelbagai urusan perniagaan, seperti pembayaran gaji, pembayaran kepada pembekal serta penyelesaian 'Financial Process Exchange' (FPX) hanya menerusi satu platform dalam talian.

Kempen berkenaan boleh disertai oleh semua pelanggan PKS yang mempunyai Akaun Semasa Perniagaan atau Akaun Semasa Perniagaan Semasa-i dengan CIMB.

Pelanggan akan mendapat satu penyertaan untuk setiap jumlah tambahan RM20,000 dalam setiap Akaun Semasa/Akaun Semasa-i, yang setiap satunya dikira baki purata bulanan pada setiap hujung bulan sepanjang tempoh penganjuran kempen.

Berita Harian X