Rabu, 1 Ogos 2018 | 7:54pm

CPP nafi pinjaman projek di Malaysia diseleweng

KUALA LUMPUR: China Petroleum Pipeline Engineering Co Ltd (CPP) menafikan dakwaan pinjaman yang diterimanya untuk projek saluran paip gas di negara ini telah disalah guna.

Firma itu dalam satu kenyataan berkata beberapa media baru-baru ini mengeluarkan laporan berita yang mengandungi maklumat salah berhubung projek saluran paip gas di Malaysia.

"Kami mahu menjelaskan semua dana daripada Export-Import Bank of China (EXIM Bank China) hanya dibayar terus kepada akaun bank CPP.

"Ini sejajar dengan peraturan perbankan anti pengubahan wang haram, kawal selia dan perjanjian yang sah di sisi undang-undang serta ditandatangani.

"Tidak ada sama sekali dana yang dibayar kepada sebarang mana-mana pihak ketiga yang berpangkalan di Cayman Island dan/ atau mana-mana syarikat," katanya.

CPP ialah kontraktor yang dilantik oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) untuk dua projek saluran paip gas di Kedah dan Sabah.

SSER dikatakan sudah membuat bayaran sebanyak RM8.3 bilion ataupun 88 peratus daripada kos pembinaan RM9.4 bilion, walaupun kemajuan kerja (yang belum diaudit) dianggarkan pada tahap 13 peratus.

Kontrak SSER bernilai RM9.4 bilion itu belum lagi mengambil kira kos perjanjian pengambilalihan tanah, dua perjanjian perundingan pakar dan satu perjanjian penyelenggaraan yang bernilai RM1.7 bilion.

Berita Harian X