Jumaat, 20 Julai 2018 | 6:32pm

Geely Holding lonjak ke tangga ke-267 Fortune Global 500

KUALA LUMPUR: Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding), yang menguasai 49.9 peratus kepentingan dalam PROTON Holdings Bhd (PROTON), mencatatkan kedudukan ke-267, naik 76 anak tangga dalam senarai Fortune Global 500 yang dikeluarkan baru-baru ini dengan pendapatan AS$41.1 bilion (RM167.04 bilion).

Penarafan itu menandakan tahun ketujuh berturut-turut Geely Holding yang juga syarikat teknologi automotif terbesar China tersenarai dalam Fortune Global 500.

Ia dicapai melalui keputusan yang kukuh Geely Holding pada 2017 berdasarkan prestasi jualan anak syarikat terasnya iaitu Geely Auto China dan Volvo Cars.

Geely Auto merekodkan jualan melebihi 1.24 juta kenderaan pada 2017, peningkatan tahunan sebanyak 63 peratus, sementara jualan unit di Volvo melonjak tujuh peratus kepada 571,577 unit kenderaan.

Geely Holding dalam satu kenyataan berkata, pada separuh pertama 2018, pihaknya mencatatkan perkembangan pesat dengan hanya dalam enam bulan sehingga 30 Jun lalu, jualan Geely Auto mencapai 766,630 unit kenderaan, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 45 peratus.

Katanya, Volvo Cars juga menyaksikan pertumbuhan ketara melalui model ikoniknya XC40, XC60 dan XC90 dengan jualan mencapai 317,639 unit, pertumbuhan sebanyak 14.4 peratus tahun ke tahun.

LYNK & CO, jenama baharu di bawah Geely Holding bagi mencipta generasi baru pengguna automotif di kawasan bandar turut mencatatkan keputusan kukuh sejak dilancarkan pada Disember 2017, dengan jumlah jualan bagi separuh pertama 2018 mencapai 46,252 unit.

Kenderaan LYNK & CO adalah berdasarkan Compact Modular Architecture (CMA), dibangunkan bersama oleh Volvo Cars dan Geely Auto untuk menyokong generasi kenderaan baharu yang kompak.

Menurut kenyataan itu, beberapa tahun lalu, Geely Holding juga berjaya menyelesaikan beberapa pengambilalihan yang membolehkannya memperluaskan lagi kehadiran dalam pasaran global.

Katanya, ia juga sebahagian daripada transformasinya dari pembuat kereta tradisional kepada kumpulan perkhidmatan mobiliti berasaskan teknologi.

Tahun lalu, kumpulan menyelesaikan pengambilalihan Terrafugia, syarikat kereta terbang Amerika Syarikat, selain memperoleh 51 peratus kepentingan dalam Lotus, jenama kereta sukan ikonik British.

Kumpulan juga katanya menjalankan pelaburan strategik di Saxo Bank Denmark dan syarikat kenderaan komersial Sweden, AB Volvo, selain menjadi pemegang saham terbesar dalam kumpulan automotif Jerman, Daimler AG.

Pertumbuhan kumpulan dalam dunia automotif pintar mendapat daya tarikan pada tahun lalu dengan perkembangan pesat CAOCAO, platform e-hailing baharunya.

Kumpulan automotif China itu memasuki pasaran e-hailing selepas CAOCAO menerima lesen perkhidmatannya pada awal 2017.

Dalam tempoh setahun, CAOCAO telah berkembang ke 25 bandar raya dengan lebih daripada 26,000 kenderaan tenaga baru digunakan dalam operasinya.

Geely Holding juga menunjukkan kehebatan teknologinya dengan melancarkan wifi dalam keretapi berkelajuan tinggi melalui usaha sama baharunya dengan Tencent dan China Railway, sebahagian daripada peralihannya dari pengeluar kepada perkhidmatan mobiliti pintar.

Beberapa tahun ini juga, kumpulan meningkatkan kehadirannya dalam sistem tenaga baharu dan teknologi.

LEVC, anak syarikat teksi dan kenderaan komersialnya melancarkan teksi elektrik berkelajuan tinggi, E-City TX.

Volvo Cars juga mengumumkan komitmennya untuk melancarkan kenderaan elektrik sepenuhnya bermula 2019.

Bahagian prestasi kereta Volvo, Polestar bakal menjadi jenama tunggal kenderaan elektrik sepenuhnya dengan pembinaan kemudahan baharu yang canggih di Chengdu.

Pada separuh pertama tahun ini, Geely Auto turut melancarkan sedan hibrid baharunya, Bo Rui GE.

Ia juga mengeluarkan beberapa model kenderaan tenaga baharu dengan jarak sehingga 450 kilometer sekali caj dan menyasarkan mengeluarkan 30 model kenderaan tenaga baharu menjelang 2020.

Berita Harian X