Khamis, 28 Jun 2018 | 7:39pm
Dari kiri, Pengarah Eksekutif Coporate & Investment, Datuk Steven Ng Poh Seng, Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum dan Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26 di Wisma Mah Sing. - Foto Owee Ah Chun

Mah Seng lancar projek RM2.2 bilion tahun ini

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd akan melancarkan beberapa projek hartanah baharu bernilai sekitar RM2.2 bilion tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata empat projek akan dilancarkan di Lembah Klang, tiga di Johor dan dua di Pulau Pinang.

Projek di Lembah Klang ialah Tower C di M Vertica, Cheras; menara kedua di M Centura, Sentul; Cerrado Residential Suites di Southville City, KL South; dan M Aruna, Rawang.

Ia ditawarkan pada harga bermula di bawah RM500,000 seunit kecuali rumah teres dua tingkat M Aruna ditawarkan pada harga bermula RM550,000 seunit, manakala Cerrado belum dimuktamadkan harganya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu di sini hari ini.

Hoy Kum berkata di Johor, projek yang akan dilancarkan tahun ini ialah rumah teres dua tingkat Parcel 1F Meridin East, Pasir Gudang ditawarkan pada harga bermula RM450,000; Fasa pertama rumah teres dua tingkat Hazel di Meridin East (RM507,000); dan kedai runcit Pusat Komersial Ixora (RM650,000).

Di Pulau Pinang, hartanah komersial dan industri ringan M Parc, Permatang Tinggi ditawarkan pada harga bermula (RM934,000); dan Menara A dan C di Ferringhi Residence 2, Batu Ferringhi (RM1 juta).Berhubung peluang perkembangan ke luar negara, beliau berkata, syarikat akan terus memfokuskan kepada pasaran Malaysia tetapi tidak menolak sebarang potensi yang ada.

"Kami sibuk di Malaysia. Buat masa ini, Mah Sing sudah menyiapkan 15 projek daripada jumlah 47 projek hartanah."Pada separuh kedua ini, Mah Sing akan melakukan penyerahan beberapa projek seperti Eden di Meridin East, Johor," katanya.

Berita Harian X