Rabu, 27 Jun 2018 | 4:27pm

Sunway sasar pertumbuhan hartanah Singapura

KUALA LUMPUR: Anak syarikat pembangunan hartanah milik penuh Sunway Bhd di Singapura, Sunway Developments Pte Ltd (SDPL), memeterai perjanjian jual beli dengan Hoi Hup Realty Pte Ltd untuk menjual kepentingan ekuitinya sebanyak 30 peratus dalam Hoi Hup Sunway Novena Pte Ltd (HHSN) dengan nilai S$39.9 juta.

Dalam kenyataan, kumpulan itu berkata langkah tersebut dijangka selesai pada 30 Jun 2018.

HHSN ditubuhkan pada Disember 2012 untuk menjalankan Royal Square di pembangunan Novena yang terdiri daripada hotel, unit perubatan dan unit runcit yang berjaya disiapkan pada 12 Julai, 2017, dengan HHSN mencatatkan keuntungan terkumpul sebanyak S$132.5 juta daripada projek berkenaan.

Sunway berkata cadangan penjualan itu menandakan siapnya projek ini dan membolehkan syarikat melepaskan dan menjana keuntungan daripada pelaburannya dalam HHSN dan menggunakan hasil tersebut untuk projek baharu, selain membeli simpanan tanah baharu untuk mengukuhkan kedudukan pembangunan hartanahnya di Singapura.

"Ini termasuk pembelian en-blok pembangunan kediaman dikenali sebagai Brookvale Park bernilai S$530 juta yang diumumkan baru-baru ini, terletak di tanah pegangan pajakan 999-tahun di Clementi, Singapura.

"Cadangan pembangunan semula di tapak ini akan dijalankan oleh sebuah lagi syarikat usaha sama 30 peratus milik Sunway dengan Hoi Hup Realty dan SC Wong Pte Ltd," katanya.

Walaupun penjualan pegangan dalam HHSN, Sunway berkata ia mengekalkan suite perubatan di Royal Square di Novena dengan jumlah keluasan 8,500 kaki persegi dengan matlamat untuk mewujudkan kehadiran pertama Sunway Medical di Singapura.

Pusat perubatan itu disasarkan untuk memulakan operasi pada akhir 2018, katanya.

Dalam perkembangan lain, Sunway berkata projek Rivercove Residences Hoi Hup Sunway Sengkang Pte Ltd bernilai S$658 juta yang dilancarkan pada 14 April, terdiri daripada 628 unit kondominium eksekutif, di Anchorvale Lane, Singapura, sebanyak 98 peratus telah dijual.

-BERNAMA

Berita Harian X