Khamis, 31 Mei 2018 | 3:47pm
TAN Sri A K Nathan (tengah) bergambar bersama Pengarah Eksekutif Eversendai, Nadarajan Rohan Raj (dua dari kanan), Narish Nathan (dua dari kiri) Pengarah Eksekutif Eversendai, Narla Srinivasa Rao (kanan) dan Pengarah Eksekutif Eversendai, Cheah Ban Seng pada Mesyuarat Agung Tahunan Eversendai yang diadakan di Hotel Istana. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Eversendai sambung bina kapal pengangkut

KUALA LUMPUR: Eversendai Corporation Bhd (Eversendai) akan menyambung semula pembinaan kapal pengangkut gerak sendirinya yang kedua selepas ditangguhkan sebelum ini.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri AK Nathan berkata pembinaan semula kapal itu akan dibuat dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi berikutan prospeknya yang semakin positif.

Katanya, 35 peratus daripada pembinaan kapal berkenaan sudah disiapkan sebelum dihentikan seketika berikutan situasi pasaran yang tidak menentu.

"Kapal pengangkut gerak sendiri kami yang pertama, dikenali sebagai Vahana Aryan sudah siap dibina dan sedia untuk beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan Jun ini.

"Vahana Aryan juga memperoleh kontrak kerja sebaik saja ia siap dibina dan kami boleh menjangkakan situasi yang sama akan berlaku kepada kapal kedua apabila ia sudah boleh beroperasi.

"Kemajuan itu memberikan lebih banyak keyakinan kepada pihak bank dan pelanggan yang berpotensi untuk menyalurkan dana bagi meneruskan pembinaan kapal yang kedua itu.

"Kami dapati tahap keyakinan dan persepsi keseluruhan yang ditunjukkan oleh mereka amat berbeza berbanding tempoh setahun sebelum ini, justeru kami melihat lebih banyak peluang yang bakal mendatang," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Eversendai di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah Pengarah Eksekutif Eversendai, Narish Nathan.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu, Eversendai mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 49.6 peratus kepada RM28 juta berbanding RM18.7 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sebahagian besar keuntungan kumpulan disumbangkan oleh bahagian struktur kelulinya yang mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM24.3 juta daripada RM26.2 juta pada tahun sebelumnya.

Bahagian minyak dan gas kumpulan pula mencatat lonjakan dalam keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.1 juta daripada kerugian RM4.7 juta pada tahun kewangan lalu.

Mengulas mengenai prospek tahun ini, Nathan berkata unjuran positif telah memberikan motivasi bagi pihaknya untuk terus melangkah ke hadapan dengan yakin.

"Kami kekal optimistik dengan tambahan kontrak baharu bernilai RM182.3 juta. Daripada jumlah itu, RM105.1 juta atau 58 peratus adalah daripada projek di negara ini dan selebihnya dari Asia Barat.

"Dengan tambahan itu, jumlah keseluruhan projek Eversendai sehingga kini bernilai RM716.2 juta dengan beberapa lagi projek dalam perancangan pada tahun ini manakala jumlah kontrak adalah sekitar RM2 bilion," katanya.

Berita Harian X