Khamis, 3 Mei 2018 | 11:19am

EFM urus RM17.5 bilion dana KWAP

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP memperuntukkan RM17.5 bilion kepada pengurus dana luar (EFM) domestik dan antarabangsa setakat 31 Disember 2017, meningkat 19.6 peratus berbanding RM14.6 bilion yang diperuntukkan pada 2016.

Peruntukan itu, yang dilabur di dalam instrumen saham dan pendapatan tetap mewakili 12.42 peratus jumlah aset pelaburan KWAP bernilai RM140.8 bilion.

Pengurus portfolio domestik mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 18.1 peratus sejak penubuhan dana itu 10 tahun lalu, manakala EFM antarabangsa mencatatkan CAGR 26.6 peratus setahun dari 2011 hingga 2017.

Pengerusi Panel Pelaburan KWAP, Datuk Mohammed Azlan Hashim, berkata EFM menyediakan keupayaan inovatif dan peluang lebih meluas kepada pengurus dana persaraan kedua terbesar di Malaysia itu.

Beliau berkata, adalah tepat pada masanya untuk mengiktiraf EFM tahun ini kerana KWAP sudah mencapai tahap di mana terdapat rekod pencapaian yang wajar bagi menilai kejayaan dan kemampanan dana berkenaan.

"Dalam ketika kami berkembang ke hadapan, KWAP akan terus menyokong industri pengurusan dana dengan memperuntukkan mandat strategik bagi meningkatkan pulangan.

"EFM boleh menjangkakan KWAP akan terus menambah mandat itu, sambil menambah baik dasar bagi memberikan insentif kepada EFM yang mencatatkan prestasi baik sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagaikan pelaburan kami," katanya.

KWAP baru-baru ini mengumumkan pemenang anugerah EFM dalam satu majlis. Anugerah itu bagi mengiktiraf pengurus dana yang meraih pulangan diselaras risiko jangka panjang dan bertanggungjawab memacu pelaburan mampan.

Bagi mengiktiraf pengurus dana yang cemerlang, KWAP memilih pemenang daripada 12 kategori berlainan, iaitu tujuh bagi mandat ekuiti dan lima lagi bagi mandat pendapatan tetap.

Setiap pengurus dana dinilai dan dipilih melalui proses pemarkahan ketat yang mengukur prestasi berdasarkan metrik kuantitatif dan kualitatif utama.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, berkata pengiktirafan diberikan kepada peserta industri kebiasaannya adalah pemangkin kepada kemajuan.

"Inilah yang kami sasarkan melalui Anugerah EFM KWAP. Selain anugerah dan pengiktirafan, saya percaya kita juga perlu membantu satu sama lain dengan berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam kalangan peserta industri," katanya.

Kategori Anugerah EFM KWAP termasuk Ekuiti Konvensional Domestik, Ekuiti Syariah Domestik, Ekuiti ESG DOmestik, Ekuiti Saham Modal Kecil Domestik dan Ekuiti Antarabangsa masing-masing bagi mandat ekuiti.

Sementara itu, kategori di bawah mandat pendapatan tetap ialah Pendapatan Tetap Domestik, Sukuk Domestik dan Pendapatan Tetap Antarabangsa.

KWAP juga memberikan Anugerah EFM Terbaik bagi kategori Pulangan Kadar Wajaran Masa (TWRR) masing-masing bagi mandat ekuiti dan pendapatan tetap.

Berita Harian X