Rabu, 2 Mei 2018 | 9:24pm

Subsidiari Harrison ambil alih kepentingan dalam Famous Amos

KUALA LUMPUR: Subsidiari dengan pemilikan tidak langsung sebanyak 51 peratus Harrisons Holdings (M) Bhd, Famous Food Company Pte Ltd telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperoleh 100 peratus kepentingan dalam Famous Amos Chocolate Chip Cookie Singapore Pte Ltd.

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, ia telah menandatangani satu MoU dengan tiga penjual iaitu Shiak Esa Taha Mattar, Yeo Geok Cheo dan Anne Leong Sau Leng bagi pembelian sebanyak 800,000 saham biasa AMOS mewakili kesemua kepentingan ekuiti dengan harga ASS$5.7 juta (AS$1 > RM2.9458).

Pembelian, pemindahan dan pembayaran "Penjualan Saham" terbabit telah dipecahkan kepada dua bahagian, satu sebanyak 80 peratus saham selepas Perjanjian Penjualan dan Pembelian (SPA) dan sebahagian 20 peratus lagi akan dibuat dalam tempoh 36 bulan dari tarikh selesainya SPA berkenaan.

Menurut Harrisons lagi, selepas pemeteraian dan siapnya SPA tersebut, AMOS akan menjadi subsidiari tidak langsung 51 peratus syarikat itu.

Ia merancang untuk memperoleh peruncitan utama berkonsep kedua selepas membuat pembelian sebanyak 100 peratus dalam Watts Harrisons Sdn Bhd, baru-baru ini, yang merupakan produk harga seragam dalam peruncitan dan pemborongan di bawah jenama KOMONOYA di Malaysia, Singapura dan Brunei.

"Perniagaan Amos sudah terkenal sejak diasaskan di Singapura pada 1983 dan ia amat menguntungkan.

"Harrisons merancang untuk berkembang ke kawasan-kawasan serantau melalui jenama ini dan Komonoya. Pengambilalihan ini akan membolehkan syarikat mengambil kesempatan daripada platform pengembangan luar negaranya bagi memperluaskan perniagaan pengedaran dan pemborongannya.

Cadangan urus niaga itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham, pendapatan sesaham, aset bersih, polisi dividen dan penggearan kumpulan. - BERNAMA

Berita Harian X