Selasa, 1 Mei 2018 | 3:49pm
PRESIDEN yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group, An Conghui. - Foto BERNAMA
PRESIDEN yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group, An Conghui. - Foto BERNAMA

Geely peneraju kenderaan tenaga baharu China

KUALA LUMPUR: Rakan strategik Proton Holdings Bhd, Geely Auto Group, yang kini menjadi jenama kereta milik persendirian terbesar China, memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran kenderaan tenaga baharu China.

Pada pameran Automotif Antarabangsa Beijing 2018 (Auto China 2018), Geely memperkenalkan dua model baru yang memberi tumpuan kepada tenaga baharu dan memberi jaminan bahawa lebih banyak pembangunan model pada masa akan datang.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group, An Conghui, berkata China akan menjadi pusat global revolusi pembangunan kereta kuasa atau tenaga baharu, dengan itu menjadikan industri automotifnya lebih kuat dan lebih berdaya tahan.

"Sebagai sebuah jenama automotif China yang terkemuka, kami menyedari bahawa persaingan dalam era baru ini akan muncul dalam bentuk perang teknologi dan kami perlu menerajui inovasi teknologi untuk menjadi pelopor zaman baru ini," kata An pada pelancaran kereta sedan utama Geely tenaga baharu, "Bo Rui GE", dan kereta konsep futuristiknya, "Icon Concept", di pameran Auto China 2018.

Beliau menjelaskan bahawa Geely menyedari perkara itu sejak 12 tahun lalu ketika memulakan penyelidikannya dalam sektor tenaga baru dengan melabur dalam penyelidikan dan pembangunan, mengintegrasikan sumber daya globalnya, serta memperkukuh kerjasama strategik dengan Volvo.

"Kami mendapatkan khidmat kira-kira 2,500 'minda cemerlang' di seluruh dunia dalam kejuruteraan tenaga baharu semata-mata untuk memberi tumpuan kepada pembangunan hibrid, kenderaan elektrik, sel bahan api dan teknologi bahan api alternatif.

"Geely kini menerajui dalam teknologi tenaga baharu bersama-sama dengan hak harta intelek teras berkaitan. Geely terus berusaha dalam pembangunan teknologi asas dalam bidang tenaga baharu," katanya.

Ini, katanya, sejajar dengan 'Inisiatif Blue Geely' yang diumumkan pada akhir 2015, di mana syarikat menyasar untuk menghasilkan kenderaan tenaga baru secara besar-besaran menjelang 2020.

Geely Auto Group menyasarkan 90 peratus jualan kenderaannya terdiri daripada kenderaan tenaga baharu berdasarkan tiga teknologi teras iaitu kenderaan elektrik (EV), kenderaan hibrid plug-in (PHEV) dan kenderaan elektrik hibrid (HEV).

Rancangan berkenaan membabitkan penjualan kenderaan tenaga baharu yang akan dibahagikan kepada 65 peratus untuk PHEV dan HEV, manakala baki 35 peratus lagi dari EV menjelang 2020.

Bo Rui GE, sedan hibrid pintar pertama Geely, adalah sebuah PHEV berkuasa 1.5 Turbo (T) dengan tambahan tujuh kuasa transmisi hibrid kembar (DCTH) yang dibangunkan secara bersama dengan Volvo.

Model utama itu mendapat nilaian penggunaan bahan bakar 1.6 liter (L) setiap 100 kilometer (km), menjadikannya jenama pertama China melepasi piawaian antarabangsa dalam prestasi dan penggunaan bahan bakar.

Pada masa yang sama, Geely juga memperkenalkan varian Bo Rui GE versi hibrid ringan 48 volt, yang mampu memberi penjimatan 15 peratus penggunaan bahan api berbanding versi petrol tradisional, iaitu kepada 5.8L setiap 100 km.

Geely turut memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) berteknologi tinggi, yang dikenali sebagai Icon Concept, menunjukkan kesediaan pembuat kereta itu mempelbagaikan dan meneroka trend baru dalam reka bentuk.

"Kereta ini berfungsi sebagai permulaan kemasukan Geely ke era di mana kenderaan tenaga baharu akan menguasai jalan raya kami.

"Tahun ini saja, kami akan melancarkan pelbagai model kenderaan tenaga baharu, dan pada masa hadapan yang tidak begitu jauh, semua platform dan siri produk kami akan menggunakan kuasa baharu secara sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, Geely memilih untuk menjadi peneraju teknologi yang pragmatik, mengeluarkan kereta praktikal untuk penggunaan harian, dan bukan hanya untuk pameran.

"Pendekatan ini mendorong usaha kami untuk mencapai kejayaan dalam bidang kenderaan secara dinamik, ekonomi dan kenderaan yang mempunyai kecerdasan buatan.

"Ini membolehkan Geely menjadi peneraju yang tiada tolok bandingan dalam kenderaan tenaga baharu yang paling cekap dari segi ekonomi," tambah An.

Geely Auto Group adalah pengeluar kereta yang berpusat di Hangzhou, China. Ia ditubuhkan pada 1997 sebagai anak syarikat Zhejiang Geely Holding Group, yang kini memegang 49.9 peratus kepentingan dalam Proton sejak tahun lepas.

- BERNAMA

Berita Harian X