Selasa, 24 April 2018 | 7:01pm
PENGARAH Urusan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Westports Malaysia, Lim Beng Keem pada sidang media selepas  Mesyuarat Agung Tahunan ke-25 (AGM) Westports, hari ini. -Foto Rohanis Shukri.

Westports sedia hingga RM15 bilion perluas terminal kontena

KUALA LUMPUR: Westports Holdings Bhd (Westports) memperuntukkan antara RM10 bilion hingga RM15 bilion perbelanjaan modal (capex) untuk pengembangan kemudahan terminal kontena (CT) dari CT10 hingga CT19.

Projek berkenaan yang dianggarkan mengambil masa kira-kira 20 tahun dan dijangka siap menjelang 2040 bertujuan meningkatkan kapasiti pengendalian terminal kepada 30 juta TEU, iaitu unit bersamaan kontena 20 kaki.

Pengarah Urusan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah, berkata Westports telah menerima kelulusan dasar daripada kerajaan bagi mengembangkan kemudahan terminal CT10 hingga CT19 bagi membantu pertumbuhan jangka panjang syarikat.

"Projek berkenaan akan menjadi kekuatan bagi Westports dan Pelabuhan Klang, sebagai pelabuhan utama kepada pintu masuk perdagangan negara, selain menjadi salah satu pusat pemindahan kargo utama di rantau ini," katanya pada sidang media selepas  Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Westports, di sini, hari ini.

Westports meraih pendapatan RM2.1 bilion dan keuntungan selepas cukai RM652 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, berbanding masing-masing RM2 bilion (pendapatan) dan RM637 juta (keuntungan selepas cukai) bagi tahun kewangan sebelumnya.

Peningkatan keuntungan selepas cukai pengendali pelabuhan itu dipacu oleh pengembangan CT8 dan CT9 yang membabitkan capex sebanyak RM812 juta serta insentif daripada Elaun Cukai Pelaburan.

Dalam tempoh kewangan dikaji, Westports mengendalikan sembilan juta unit kontena bersamaan 20 kaki TEU pada 2017.

Mengulas mengenai unjuran tahun ini, Ruben Emir berkata syarikat menyasarkan pertumbuhan positif pada separuh kedua tahun ini dipacu peningkatan pengendalian unit kontena.

"Kami menjangkakan pertumbuhan yang agak sederhana pada tahun ini dan akan ada sedikit penurunan pada suku pertama. Pada suku kedua akan mengalami sedikit perubahan dan seterusnya kembali pulih dan berkembang pada suku ketiga dan keempat," katanya.

Kapasiti pengendalian terminal kontena Westports kini telah meningkat kepada 14 juta TEU setahun.

Tahap penggunaan pengendalian sangat aktif di terminal CT8 dan CT9 turut membantu kepada peningkatan keupayaan pengembangan lanjut operasi syarikat itu.

Berita Harian X