Selasa, 17 April 2018 | 6:42pm
(Dari kiri) Jaguh Nasional, Pengurus Besar, Binaan Desjaya Sdn Bhd, Awi Shahadan, Pengarah, Bahagian Keusahawanan dan PKS Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Khairulnizam Hashim, Ketua Pegawai Perolehan Kumpulan, TM, Mohamad Mohamad Zain dan Jaguh Nasional, Pengarah Urusan, LITE Kabel Sdn Bhd, Roslan Loong ketika taklimat media program pembangunan vendor Bumiputera pencapaian agenda pemeriksaan bumiputera dan jaguh nasional di TM Convention Centre, Menara TM. - Foto Owee Ah Chun
(Dari kiri) Jaguh Nasional, Pengurus Besar, Binaan Desjaya Sdn Bhd, Awi Shahadan, Pengarah, Bahagian Keusahawanan dan PKS Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Khairulnizam Hashim, Ketua Pegawai Perolehan Kumpulan, TM, Mohamad Mohamad Zain dan Jaguh Nasional, Pengarah Urusan, LITE Kabel Sdn Bhd, Roslan Loong ketika taklimat media program pembangunan vendor Bumiputera pencapaian agenda pemeriksaan bumiputera dan jaguh nasional di TM Convention Centre, Menara TM. - Foto Owee Ah Chun

TM, MITI terus kerjasama perkasa vendor Bumiputera

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM), komited untuk melahirkan lebih ramai syarikat berstatus 'Jaguh Serantau' dalam kalangan vendor tempatan menerusi Program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP), tahun ini.

Peneraju konvergens negara dan penyedia perkhidmatan komunikasi berintegrasi pertama di Malaysia itu optimis usaha berkenaan dapat dilaksanakan menerusi kerjasama vendor dengan syarikat tempatan dan organisasi antarabangsa.

Ketua Pegawai Perolehan Kumpulan TM, Mohamad Mohamad Zain, berkata pelaksanaan TM BVDP yang ditubuhkan pada 1993 adalah untuk memastikan vendor TM, khususnya vendor Bumiputera bergerak selari bersama visi dan strategi perniagaan TM di samping mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan yang mencabar.

"Setakat ini, lebih 400 vendor telah dilengkapkan dengan latihan dan pembangunan, program peningkatan kemahiran serta akses kepada pasaran.

"Buat masa ini, sebanyak 105 vendor sedang menyertai program ini dan di bawah ekosistem TM BVDP, ia telah mewujudkan lebih 8,000 peluang pekerjaan," katanya pada taklimat media Program Pembangunan Vendor Bumiputera (PPVB), Pencapaian Agenda Pemerkasaan Bumiputera dan Jaguh Nasional, di sini, hari ini.

Mohamad berkata,menerusi program berkenaan, TM sudah mengagihkan hampir RM7 bilion nilai kumulatif kontrak kepada vendor Bumiputera di negara ini bermula 2014 hingga 2017.

Bagi tempoh sama katanya, lebih RM2 bilion nilai pendapatan yang dikumpulkan vendor yang terbabit dalam program itu.

Beliau berkata, mulai 2014, TM BVDP terus dipertingkatkan dengan kolaborasi berterusan dan sokongan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang menubuhkan program lebih berstruktur dan peruntukan dana khas di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

"Sejumlah RM60 juta diperuntukan kepada Program Pembangunan dan Pemerkasaan Vendor (PPPV).

"Dengan matlamat kami untuk melahirkan Jaguh Korporat di peringkat nasional, serantau dan global, adalah penting bagi TM dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) saling bekerjasama demi pembangunan vendor Bumiputera," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Keusahawanan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MITI, Khairulnizam Hashim yang turut hadir pada taklimat itu berkata, MITI juga menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya satu syarikat berstatus jaguh global, tiga  jaguh serantau dan 10 jaguh nasional dalam kalangan usahawan Bumiputera menerusi Program Pembangunan Vendor (PPV), pada tahun ini.

Sasaran itu katanya, sebagai usaha membantu mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran lebih global serta memperkukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran.

"Pada tahun lalu, sejumlah 21 syarikat teraju (anchor) menyertai PPV dan berjaya melantik seramai 1,418 vendor.

"Menerusi penyertaan syarikat teraju dan vendor terbabit, ia berjaya merekodkan nilai perolehan sebanyak RM30.44 bilion," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, MITI juga menyediakan peruntukan sebanyak RM12 juta di bawah Geran Penyelidikan dan Pengkomersialan Vendor (GPPV), tahun ini, untuk terus memperkasakan vendor tempatan.

"Sepanjang 2016 hingga 2017, seramai 15 syarikat vendor tersenarai dalam GPPV yang membabitkan peruntukan sebanyak RM9 juta," katanya.

Berita Harian X