Ahad, 25 March 2018 | 4:32pm
KETUA Pegawai Korporat TNB dan Setiausaha Agung Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP) 2017/2018, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman.

TNB akan anjur persidangan CEPSI 2018

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan menganjurkan persidangan dwitahunan Industri Bekalan Kuasa Elektrik (CEPSI) 2018 dari 17-22 September depan di Kuala Lumpur, yang akan menampilkan penceramah terkemuka dari seluruh dunia.

Antara penceramah yang akan menyertainya termasuklah empat pakar antarabangsa dalam trend dan peralihan global dalam sektor elektrik/tenaga, utiliti masa depan, inovasi, pendigitalan, analisis data, tenaga dan kelestarian, simpanan bateri, teknologi baharu dan grid kuasa.

"Mereka akan berkongsi mengenai trend terkini, amalan terbaik dan cabaran dalam bidang mereka masing-masing," kata Ketua Pegawai Korporat TNB dan Setiausaha Agung Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP) 2017/2018, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman dalam satu kenyataan hari ini.

TNB menganjurkan edisi ke-22 Persidangan CEPSI itu sebagai mewakili AESIEAP. Kali terakhir TNB menganjurkan CEPSI ialah pada 1996.

Roslan berkata, peserta CEPSI akan berpeluang bertemu, berbincang, berkongsi pengalaman dan menjana idea baharu dengan penggubal dasar, ketua-ketua industri dan pemikir berpengaruh dalam industri bekalan elektrik.

Lebih daripada 1,500 delegasi terdiri daripada ketua-ketua industri, eksekutif kanan, pegawai kerajaan dan pakar profesional dari seluruh dunia dijangka menghadiri CEPSI 2018. - BERNAMA

Berita Harian X