Jumaat, 16 March 2018 | 4:54pm

DNeX bantu mudahkan PKS eksport ke China

KUALA LUMPUR: Dagang NeXchange Bhd (DNeX) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Asia-Pacific Model E-Port Network (APMEN) Operational Center dalam usaha meningkatkan keberkesanan perdagangan rentas sempadan di antara Malaysia dan China.

Di bawah MoU itu, DNeX dan APMEN Operational Center akan berusaha untuk memperkasakan perdagangan antara kedua-dua negara menerusi penggunaan program kerjasama yang menyeluruh dan inovatif.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, skop kerjasama itu termasuk sokongan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia mengeksport ke pasaran China.

Selain itu, ia juga untuk membantu PKS mengurangkan kos perdagangan melalui inisiatif seperti menyepadukan sistem aplikasi FTA APMEN Operational Center dan 1Trade DNeX, laman web berasaskan portal sehenti untuk perkhidmatan kargo dan pengurusan perdagangan.

Projek itu katanya, dijangka dilaksanakan menjelang akhir tahun ini dan disasarkan kepada perniagaan dalam sektor Pemudah Perdagangan dan Logistik, terutama pengeksport dan pengimport dan pembekal perkhidmatan logistik,

"1Trade oleh DNeX ini menumpukan rantaian bekalan dan proses logistik rentas sempadan untuk memudahkan proses pengurusan kargo dan perdagangan.

"Kerjasama ini juga akan leiputi projek perintis pelaksanaan pertukaran Sijil Asal Elektronik di antara Malaysia dan China," katanya.

Pada majlis pemeteraian yang berlangsung di Shanghai, China hari ini, DNeX diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Datuk Patrick Wong manakala APMEN Operational Center oleh Pengarah Urusannya, Huang Feng.

Sementara itu, Patrick berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan APMEN Operational Center untuk memudahkan perdagangan rentas sempadan yang lebih cekap di antara Malaysia dan China, yang kini adalah rakan dagang utama Malaysia.

"Menerusi kerjasama ini, kami berhasrat membantu PKS, segmen ekonomi yang semakin penting, dalam mengurangkan kos meningkatkan kecekapan, produktiviti, dan pendapatan perniagaan, "katanya yang turut berharap dapat meningkatkan kehadiran syarikatnya di negara itu.

Berita Harian X