Jumaat, 16 March 2018 | 1:19pm

Kualiti pengurusan, pengeluaran PROTON meningkat

SUBANG JAYA: Kualiti pengurusan dan pengeluaran Holdings Bhd (PROTON) kini setanding dengan Volvo, sekali gus membolehkannya bersedia melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya pada suku keempat tahun ini.

Pengeluar kereta nasional itu dalam kenyataannya berkata sejak kerjasama strategik antara PROTON bersama Zhejiang Geely Holdings Group (Geely) diumumkan, ia melaksanakan program peningkatan kualiti berdasarkan kriteria skor global Volvo.

Katanya, sejak Disember 2017, audit yang dibuat oleh Geely menunjukkan peningkatan memberangsangkan tiga kali ganda kualiti PROTON, sekali gus menjadi bukti keberkesanan kerjasama antara kedua-dua syarikat.

"Proses penambahbaikan berikutnya sedang diperkenalkan dan dengan audit berikutnya dijadualkan pada Mac 2018, PROTON yakin mencatatkan satu lagi peningkatan skor audit.

"Peningkatan ini penting sebagai persediaan pelancaran SUV pertama PROTON, yang buat masa ini dijadualkan pada akhir tahun ini," katanya.

Difahamkan, SUV pertama yang bakal dikeluarkan PROTON adalah berasaskan model Geely Boyue dan disasarkan menjadi model sulung kerjasama kedua-dua syarikat.

PROTON kini dimiliki DRB-HICOM Bhd sebanyak 50.1 peratus dan 49.9 peratus oleh Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd.

Dalam pada itu, PROTON berkata, ia juga mampu berkongsi kelebihan bersama melalui Geely, yang kini memperoleh kepentingan di dalam gergasi automotif Jerman, Daimler.

Pengerusi Geely, Li Shufu, baru-baru ini mengumumkan memperoleh 9.69 peratus kepentingan di dalam Daimler, menjadikannya pemegang saham tunggal terbesar bagi Mercedes-Benz dan trak Daimler.

Bulan lalu, PROTON mencatatkan penguasaan 9.6 peratus jualan pasaran automotif tempatan. Majoriti jualan dihasilkan melalui model Saga, Persona, Exora dan juga Iriz yang terus menarik minat pelanggan melalui reka bentuk, teknologi dan kelebihan nilainya.

Pada bulan ini, kempen PROTON iaitu 'My Style, My Drive' akan bermula dan boleh didapati di cawangan jualan di seluruh

negara dan kempen ini akan menumpukan kepada Proton Iriz.

Pelanggan dijemput untuk memandu uji model kompak yang memenangi anugerah itu untuk merasai sendiri ciri-ciri baharu yang diperkenalkan dalam model yang dipertingkat pada tahun lalu.

Pada masa yang sama, kakitangan PROTON juga akan bertemu dengan pelanggan untuk memberi penerangan mengenai cara terbaik menggunakan pelbagai ciri pintar kereta ini.

Orang ramai boleh berkunjung ke bilik pameran PROTON yang turut dilengkapi sudut keselamatan untuk memahami aspek keselamatan bagi model "hatchback" itu yang mendapat penarafan lima bintang oleh ASEAN NCAP.

Berita Harian X