Isnin, 12 March 2018 | 2:35pm
PENGERUSI Eksekutif Hartalega Holdings Berhad, Kuan Kam Hon (tengah), Kuan Mun Leong (kiri) dan Pengarah Eksekutif Bebas Hartalega Holdings Berhad, Kuan Mun Keng pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Pusat Konvensyen Sime Darby. - Foto Salhani Ibrahim

Sarung tangan anti-mikroba Hartalega akan masuk AS

KUALA LUMPUR: Hartalega Holdings Bhd akan menyerahkan permohanan kepada Pentadbiran Ubat-ubatan Persekutuan (FDA) Amerika Syarikat (AS) selewat-lewatnya pertengahan April depan untuk membolehkannya memasarkan sarung tangan anti-mikroba di negara itu seawal tahun ini.

Pengarah Urusannya, Kuan Mun Leong, berkata perkara itu membabitkan banyak kertas teknikal dan banyak aspek teknikal yang harus dipatuhi terlebih dulu sebelum ia dapat diluluskan.

"Kita akan menyerahkan (permohonan) kepada FDA kemuningkan besar antara akhir Mei 2018 dan pertengahan April 2018.

"Proses mendapat kelulusan pula akan mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu di sini hari ini.

Sarung tangan perubatan anti-microbal yang dibangunkan Hartalega bersama penyelidik berpangkalan di United Kingdom memberi lapisan perlindungan tambahan bagi mengelak berlakunya jangkitan ketika pemeriksaan perubatan.

Hartalega akan melancarkan produk itu di Eropah Mei depan.

Pada EGM itu Hartalega mendapat kelulusan pemegang saham bagi penerbitan bonus sehingga 1.714 bilion saham baharu dalam Hartalega.

Terbitan bonus itu adalah pada asas satu saham bonus bagi setiap saham sedia ada yang dipegang pemegang saham, dengan tarikh kelayakan akan ditentukan kemudian.

Mun Leong berkata, terbitan bonus itu akan membolehkan syarikat meningkatkan kecairan dan dengan saiz saham yang lebih besar, ia akan mempromosi dagangan saham.

Kumpulan itu mencatat untung bersih RM113.1 juta dalam suku kewangan ketiga berakhir 31 Disember 2017 mewakili lonjakan 70.4 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan yang meningkat 32.2 peratus kepada RM603.1 juta.

Ia mencatat untung bersih terkumpul berjumlah RM323.3 juta untuk tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2017, mewakili peningkatan 66.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

CIMB Equities Research dalam satu nota penyelidikan menjangka Hartalega di landasan kukuh untuk mencatat keputusan suku kewangan keempat yang lebih kukuh, disandarkan kepada peningkatan keupayaan barisan pengeluaran baharu Hartalega di Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Berikutnya (NGC).

NGC di Sepang itu merangkumi tujuh kilang pengeluaran yang mana empat daripadanya sudah beroperasi sepenuhnya.

Berita Harian X