Rabu, 28 Februari 2018 | 8:04pm

Mah Sing catat untung bersih RM361.9 juta

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM361.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, dengan pendapatan diraihnya dalam tempoh itu berjumlah RM2.9 bilion.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2017, kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM88.8 juta manakala pendapatan mencecah RM760.8 juta.

Kumpulan hartanah itu pada masa ini mempunyai kira-kira 2,125 ekar (859 hektar) tanah yang belum dimajukan dengan baki nilai pembangunan kasar (GDV) dan jualan belum dibilkan kira-kira RM27.6 bilion, dijangka boleh menyokong pertumbuhan pendapatannya bagi lapan tahun akan datang.

Didorong oleh pembelian kukuh rumah mampu milik pada 2017, Mah Sing meletakkan 74 peratus sasaran jualan berjumlah RM1.8 bilion bagi 2018 terhadap produk berharga di bawah RM500,000.

Mah Sing mencapai sasaran jualannya tahun lalu disokong oleh kempen "Reinvent Affordability", yang mencerminkan usaha kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah dengan menyediakan produk mampu milik di bawah RM500,000 dengan spesifikasi bagus dan lokasi strategi berhampiran pengangkutan awam.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata 45 peratus jualan kediaman keseluruhan yang dicatatkan tahun lalu adalah daripada produk berharga di bawah RM500,000.

"Kami menetapkan sasaran jualan minimum RM1.8 bilion tahun ini, dengan 74 peratus disasarkan jualan kediaman berharga di bawah RM500,000.

"Bagi 2018, kemampuan milik adalah keutamaan Mah Sing dan kami akan menumpu untuk membangunkan rumah untuk pembeli muda dan pertambahan penduduk yang mencari rumah pertama.

"Pelancaran kediaman baharu di bawah RM500,000 termasuk M Centura in Sentul, M Vertica di Cheras, Southville City Sensa Residence serta Cerrado Residential Suites Tower C dan D in Greater KL, rumah berangkai dua tingkat di Meridin East'sdan M Vista@Southbay di Pulau Pinang," katanya.

Berita Harian X