Selasa, 27 Februari 2018 | 4:44pm

Untung bersih Eversendai RM87.82 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Eversendai Corporation Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 meningkat kepada RM87.82 juta, berbanding RM274.09 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata perolehannya turut meningkat kepada RM1.83 bilion berbanding RM1.58 bilion sebelum ini.

Sebanyak 54.6 peratus daripada jumlah perolehan itu disumbangkan oleh perniagaan di Timur Tengah dan seterusnya operasi di Malaysia (11.2 peratus), India (14.5 peratus), segmen minyak dan gas (15.4 peratus) manakala baki 4.4 peratus daripada Thailand dan Singapura.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Eversendai, Tan Sri A K Nathan, berkata tahun kewangan 2017 itu juga menyaksikan peningkatan prestasi operasi dalam pelbagai unit perniagaan yang memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan.

"Perniagaan teras kumpulan dalam struktur keluli akan kekal sebagai penyumbang utama iaitu 68.3 peratus kepada perolehan manakala baki 31.7 peratus disumbangkan oleh perniagaan lain seperti loji janakuasa, pembinaan sivil, minyak dan gas.

"Kami berada di kedudukan yang baik untuk meneruskan prestasi dan membawa pulangan kukuh pada 2018 berikutan keseimbangan kekuatan dan daya tahan serta pengurusan risiko perusahaan secara berhemat," katanya.

Nathan berkata kumpulan itu juga sudah berjaya mendapat kontrak bernilai RM261.7 juta di Timur Tengah.

"Kami memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan lagi operasi di pasaran semasa serta memperkemaskan kawalan kos dalam usaha menambah keuntungan.

"Peluang baharu di Timur Tengah itu menjadikan jumlah projek diperolehi bernilai sehingga RM533.9 juta setakat ini pada 2018 manakala jumlah tempahan dalam tangan adalah sebanyak RM2.5 bilion," katanya.

Pada jam 3.05 petang, saham Eversendai menokok enam sen kepada 87 sen dengan 4.17 juta saham saling berpindah tangan. - BERNAMA

Berita Harian X